PETALING JAYA: BDB Energy Sdn. Bhd. (BDB Energy), anak syarikat Bina Darulaman Berhad (BDB), memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Pumar Solar Power Sdn. Bhd. (PSP) untuk meneroka industri tenaga solar di Malaysia.
Usaha itu merupakan langkah strategik Syarikat dalam merealisasikan komitmen mempromosikan sumber tenaga boleh baharu (RE) serta mengurangkan jejak karbon.
MoU berkenaan turut menetapkan terma kerjasama mengeksplorasi peluang tenaga solar dengan memberikan tumpuan khusus di Kedah dan negeri-negeri berpotensi lain di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Kumpulan BDB, Raja Shahreen Raja Othman berkata, kerjasama tersebut selari dengan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) oleh Kerajaan Persekutuan yang menetapkan sasaran RE sebanyak 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.
Beliau berkata, BDB Energy mempunyai beberapa bidang kepakaran utama iaitu Penjanaan dan Penghantaran Kuasa Elektrik, Pengeluaran Tenaga Boleh Diperbaharui, Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC), Pembangunan Suria, Pengendalian Kemudahan Penjanaan Boleh Diperbaharui, Penyelenggaraan dan Penyelesaian Kecekapan Tenaga.
Justeru katanya, MoU menandakan pendekatan strategik BDB Energy untuk menggunakan kepakaran teknikal PSP dan kehadiran pasaran yang mapan untuk mempercepat pertumbuhan dalam sektor RE.
“Dengan kerjasama ia akan dapat menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penggunaan teknologi RE dan mempromosikan pembangunan mampan.
“Kerjasama strategik ini lebih mengukuhkan visi bersama kedua-dua syarikat untuk mendorong penyelesaian tenaga mampan di Malaysia dan di luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani kerjasama itu diadakan di Alor Setar dan turut dihadiri Pengerusi BDB, Sr Che Had Dhali; Ketua Pegawai Eksekutif PSP, Nor Azam Kamisan dan Ketua Pegawai Kewangan PSP, Masliza Abu Bakar.
Menurut Raja Shahreen, BDB menerusi BDB Energy akan turut memainkan peranan bagi membolehkan sektor RE berkembang di Kedah bagi memastikan kemajuan negara ke arah masa depan yang mampan.
Katanya, MoU yang ditandatangani menunjukkan komitmen kukuh kedua-dua pihak untuk memanfaatkan tenaga solar dan sumber RE lain yang memberikan impak positif kepada alam sekitar serta mempromosikan amalan perniagaan mampan.
“Ini sejajar dengan Teras Keenam Pelan Pembangunan Kedah 2035 yang memfokuskan pada “Kemampanan Alam Sekitar” dan akan turut diaplikasikan merentas pelbagai portfolio Kumpulan BDB,” katanya. – UTUSAN











