HANGZHOU: Alibaba Cloud, tulang belakang teknologi digital dan kecerdasan Kumpulan Alibaba melancarkan siri produk dan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pembangunan AI generatif daripada pelanggan di seluruh dunia.
Penyelesaian tersebut merangkumi platform pengkomputeran AI kepada perkhidmatan pecutan AI dan aplikasi tertumpu AI, yang direka bentuk untuk membantu pelanggan mencipta aplikasi AI generatif mereka sendiri dengan cara yang lebih cekap, selamat dan kos efektif.
Penyelesaian itu masing-masing adalah PAI-Lingjun Intelligent Computing Service, Alibaba Cloud AI Acceleration Solution dan OpenSearch LLM-Based Conversational Search.
Presiden Perniagaan Antarabangsa Alibaba Cloud Intelligence Group, Selina Yuan berkata, pihaknya sentiasa memperkenalkan produk dan perkhidmatan inovatif untuk menangani masalah berbeza bagi pelanggan globalnya.
Katanya, perkara tersebut bagi memenuhi permintaan yang berkembang pesat untuk AI generatif.
“Perkhidmatan AI komprehensif kami direka untuk membantu pelanggan merebut peluang yang tiada tandingan yang ditawarkan oleh trend teknologi ini.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen kami untuk memupuk pembangunan aplikasi yang lebih inklusif dan inovatif untuk AI generatif, kami telah bergabung tenaga dengan peneraju industri untuk memperluaskan lagi keupayaan kami untuk senario yang berbeza,” katanya pada Sidang Kemuncak Alibaba Cloud Global 2023 di sini, semalam.
Sementara itu, beliau berkata, bagi mengurangkan kerumitan proses AI, PAI-Lingjun Intelligent Computing Service diperkenalkan sebagai platform pengkomputeran AI yang komprehensif untuk tugas pengkomputeran prestasi tinggi, seperti latihan model asas dan inferens.
Tambahnya, platform itu yang sudah digunakan di China akan tersedia di Singapura mulai awal 2024, diikuti negara Asia lain.
Bagi mempercepatkan transformasi digital untuk pelanggan globalnya, Alibaba Cloud turut mengumumkan kerjasama dengan pelanggan perusahaan dalam pasaran termasuk Malaysia, Korea Selatan, United Kingdom dan Emiriah Arab Bersatu.
Dalam pada itu, Selina berkata, Alibaba Cloud juga rakan kerjasama Sukan Asia Hangzhou dari 23 September hingga 8 Oktober 2023, Sukan Asia pertama yang menggunakan teknologi awan.
“Sistem teras yang digunakan terdiri daripada Sistem Pengurusan Permainan (GMS), Sistem Pengedaran Keputusan (RDS) dan Sistem Sokongan Permainan (GSS).
“Ia akan menyokong operasi sepanjang masa bagi 56 tempat pertandingan dan kemudahan kritikal lain seperti pusat pengurusan teknologi maklumat, pusat media utama dan Kampung Sukan Asia Hangzhou.
“Penyelesaian ini memanfaatkan lebih 100,000 pengguna berdaftar termasuk atlet, penyiar, wartawan, kakitangan dan sukarelawan dari 45 negara dan wilayah di seluruh dunia,” ujarnya. – UTUSAN










