20 syarikat teratas Bursa Malaysia derma RM129.25 juta - Utusan Malaysia

20 syarikat teratas Bursa Malaysia derma RM129.25 juta

SIME Darby merupakan penyumbang utama bagi 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah derma secara tunai oleh 20 syarikat teratas di Bursa Malaysia pada 2022 berjumlah RM129.25 juta, menurun berbanding RM159.69 juta tahun sebelumnya, menurut laporan Bursa Top 20: Who’s The Most Charitable? oleh Wiki Impact.

Menurut laporan itu, Sime Darby Berhad, Telekom Malaysia Berhad (TM) dan CIMB Group Holding Berhad (CIMB) menjadi antara penyumbang utama pada 2022.

Nisbah purata peratusan pemberian tunai kepada keuntungan bersih menurun kepada 0.26 peratus berbanding 0.29 peratus tahun sebelumnya.

Wiki Impact berkata, Sime Darby menyumbang RM20 juta daripada RM1.10 bilion keuntungan bersihnya kepada badan amal dan inisiatif sosial dan alam sekitar yang lain.

Katanya, jumlah berkenaan lebih tinggi berbanding 1.40 peratus yang disumbangkan pada tahun sebelumnya.

“Sementara itu, TM merupakan penyumbang tunai kedua terbesar dengan nisbah pemberian tunai kepada untung sebanyak 0.80 peratus berbanding 0.5 peratus tahun lalu berjumlah RM8.1 juta daripada RM1.01 bilion keuntungan bersihnya kepada usaha kebajikan.

“Ia diikuti CIMB dengan peratusan pemberian tunai berbanding keuntungan bersih sebanyak 0.63 peratus berbanding 0.19 peratus pada 2021 iaitu lebih RM39.57 juta daripada keuntungan bersih RM5.44 bilion mereka,” menurut laporan.

Mengulas lanjut, Wiki Impact berkata, TNB sekali lagi muncul sebagai pemberi korporat dalam bentuk barangan tertinggi dengan nilai kira-kira RM153.71 juta daripada 4.44 peratus daripada pendapatan bersih syarikat berbanding 3.22 peratus pada 2021.

“IOI Corp Berhad pula menduduki tempat kedua dengan sumbangan RM60.29 juta dalam bentuk pemberian berupa barangan, mewakili 3.48 peratus daripada keuntungan bersihnya sebanyak RM1.73 bilion.

“Selain itu, sembilan daripada 20 syarikat berjaya mengira dan merekodkan tempoh penglibatan pekerja mereka dalam kerja=kerja kesukarelawanan bagi tahun ini berbanding hanya tujuh syarikat tahun sebelumnya.

“Tahun ini, kumpulan CIMB berjaya mencatatkan jumlah jam sukarelawan tertinggi pada 142,614, peningkatan daripada 67,278 jam sukarelawan tahun lepas,” katanya.

Pengasas bersama Wiki Impact, Terence Ooi dalam kenyataan sama berkata, 20 syarikat teratas Bursa telah menunjukkan komitmen sepenuhnya terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar korporat di samping meluaskan impaknya kepada pekerja, komuniti dan masyarakat.

“Laporan tahun kedua berturut-turut ini selari dengan objektif utama kami dalam untuk menggalakkan dan memberi inspirasi kepada syarikat yang dipacu keuntungan untuk memupuk budaya dermawan dalam organisasi mereka.

“Kami percaya bahawa perkongsian pandangan akan membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk mengenali nilai memberi kembali,” katanya. – UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, Telegram, TikTok & WhatsApp Channel

BERITA BERKAITAN