Woodpeckers peroleh hak francais eksklusif ChaTraMue

Woodpeckers peroleh hak francais eksklusif ChaTraMue

MAJLIS menandatangani perjanjian francais antara Woodpeckers dan Cha Thai International Company Limited di Bangkok, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Woodpeckers Group Sdn. Bhd. memperoleh hak francais eksklusif untuk teh susu Thailand terkemuka, jenama ChaTraMue dan merancang membuka lapan hingga 10 cawangan pada tahun ini.

Woodpeckers merupakan syarikat di sebalik kejayaan jenama yogurt semula jadi Ilaollao di Malaysia.

Woodpeckers telah menandatangani perjanjian francais selama 20 tahun untuk Malaysia dengan Cha Thai International Company Limited, pemilik jenama ChaTraMue (disebut Cha-Tra-Mer) di Bangkok baru-baru ini.

Pengarah Woodpeckers Group, Tan Kai Young berkata, Kumpulan bangga dan teruja kerana menjadi yang pertama di luar Thailand untuk memperoleh francais eksklusif tersebut memandangkan Cha Thai merupakan syarikat yang mempunyai sejarah lebih daripada 100 tahun.

Beliau berkata, memandangkan Malaysia merupakan negara pencinta teh, Kumpulan melihat potensi yang besar untuk ChaTraMue.

“Rakyat Malaysia pasti akan menikmati rasa jenama teh susu Thai Nombor Satu ini. Di Woodpeckers, kami sentiasa ingin memberikan pelanggan pengalaman daripada budaya yang berbeza.

“Kami sentiasa mencari rasa makanan dan minuman yang menarik untuk dibawa ke Malaysia. Kami telah memperkenalkan yoghurt beku semulajadi yang terkenal dan berkhasiat dari Sepanyol iaitu llaollao dan membawanya ke puncak kegemilangan di Malaysia.

“Baru-baru ini, kami telah menceburi sektor yang lebih elegan melalui restoran mewah kami sendiri, TBC dan kini, kami akan menambahkan ChaTraMue,” katanya dalam kenyataan.

Pengurus Operasi Jenama Woodpeckers Group, Ricky Tjandra berkata, bagi memastikan rangkaian di Malaysia memiliki citarasa serupa dengan ChaTraMue di Thailand, Woodpeckers akan menggunakan daun teh Thai yang sama.

Beliau menambah, Woodpeckers telah mencari lokasi sesuai untuk membuka lapan hingga 10 cawangan tahun ini dan lima lagi cawangan pada suku pertama tahun depan.

“Kami seterusnya akan meningkatkan skala pembukaan cawangan kami kepada sembilan cawangan setiap suku tahun, menjadikan jumlah keseluruhan kedai kami kira-kira 40 menjelang akhir tahun depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Cha Thai International, Srisuporn Chaturongkavanich yakin Woodpeckers berpotensi mengembangkan jenama ChaTraMue di Malaysia.

Beliau juga menekankan bahawa rundingan tersebut dilaksanakan dengan teliti selama beberapa bulan, menunjukkan syarikat sangat berhati-hati sebelum memberikan francais nasional kepada mana-mana pihak.

“Malaysia merupakan negara pertama yang diberikan kebenaran untuk menggunakan jenama kami yang bermula sejak tahun 1945 dan ianya benar-benar merupakan sebahagian daripada tradisi teh Thai kami. Kami teruja untuk bekerjasama dengan Woodpeckers bagi membawa konsep teh Thai asli ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×