PETALING JAYA: UOB Malaysia mengumumkan perkongsian strategik dengan Petronas Dagangan Berhad (PDB) dan anak syarikatnya, Petronas Lubricants Marketing (Malaysia) sdn. Bhd. bagi memperkasa ekosistem rantaian bekalan syarikat berkenaan.
Kerjasama itu akan menyediakan pembiayaan hujung ke hujung melalui program pembiayaan peniaga dan pengedar UOB, kepada lebih 1,000 peruncit tempatan yang juga peniaga dan pengedar di bawah Petronas.
Program itu diperkenalkan supaya peniaga dan pengedar dalam ekosistem mendapat akses kepada lebih banyak peluang pembiayaan.
Ia menawarkan pembiayaan modal kerja dan perbelanjaan modal, serta jaminan bank dan penyelesaian pengurusan tunai untuk mengembangkan operasi pengedar dan kedai runcit mereka di seluruh negara.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong UOB Malaysia, Andy Cheah berkata, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang kepada Petronas, UOB berbesar hati membantu anak syarikatnya dalam mengukuhkan kemantapan pengurusan rantaian bekalan mereka.
“Melalui penyelesaian inovatif dan komprehensif UOB, kami berupaya menyokong keperluan kewangan keseluruhan rantaian nilai Petronas Dagangan dan Petronas Lubricants Marketing. Kami tetap membuka peluang baharu selain menghubungkan syarikat-syarikat untuk berkembang di dalam dan di seluruh rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Petronas Dagangan, Khalil Jaffri Muhammad Muri berkata, kerjasama akan memanfaatkan kepakaran kewangan UOB dalam menyediakan kestabilan dan keselamatan kewangan kepada rangkaian peniaga dan pengedar Petronas Dagangan.
“Kami percaya kerjasama ini bukan sahaja akan mengukuhkan perniagaan rakan kongsi kami, malah ia juga akan meningkatkan pengalaman pelanggan secara keseluruhan, memastikan akses yang lebih mudah dan lebih baik kepada rangkaian tawaran kami,” katanya.
Melalui kerjasama itu juga peniaga dan pengedar Petronas Dagangan dan Petronas Lubricants di bawah program berkenaan akan meraih manfaat daripada pengurusan rantaian bekalan kewangan (FSCM) serta rangkaian penyelesaian berasaskan ekosistem UOB Malaysia.
Melalui keupayaan pengurusan tunai UOB Malaysia dan platform perbankan digitalnya – UOB Infinity 1, peniaga dan pengedar Petronas Dagangan dan Petronas Lubricants juga akan dilengkapi dengan keterlihatan dan automasi hujung ke hujung bagi keseluruhan rantaian bekalan kewangan mereka. – UTUSAN










