PETALING JAYA: Jualan automotif UMW Holdings Bhd. melonjak kepada 36,780 unit pada Julai 2023, iaitu 43 peratus lebih tinggi daripada 24,983 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.
Kumpulan UMW dalam satu kenyataan berkata, peningkatan berkenaan disokong oleh UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu UMW, Perodua yang terus memenuhi tempahan tertunggaknya.
Menurut Kumpulan itu, sehingga Julai 2023, UMWT merekodkan pertumbuhan sebanyak lapan peratus apabila mencatat jualan sebanyak 57,008 unit berbanding 52,548 unit yang direkodkan tempoh sama tahun lalu.
Perodua pula mencatat jualan 19 peratus lebih tinggi bagi tempoh Januari sehingga Julai 2023 iaitu sebanyak 173,121 unit berbanding 145,689 unit tempoh sama 2022.
“Bagi mengukuhkan lagi jumlah pesanannya, UMWT menawarkan promosi istimewa serta pilihan pembiayaan Toyota EZ Beli untuk pembelian model Toyota terpilih.
“Sementara itu, melangkah kehadapan Perodua dijangka terus memenuhi tempahan tertunggak kerana ia menyasarkan jualan sebanyak 314,000 unit bagi 2023,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Seri Ahmad Fuaad Kenali berkata, pihaknya berbesar hati dengan jualan kukuh yang didaftarkan oleh UMWT dan Perodua, kerana permintaan kekal menggalakkan.
Menurut beliau, kedua-dua syarikat juga berjaya mencatat jualan lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
“Kumpulan akan terus memperkenalkan model baharu yang kompetitif dan menarik untuk memenuhi keperluan pelanggan.
“Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pelanggan kami di atas sokongan berterusan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami,” katanya.
Untuk rekod, UMWT mencatatkan peningkatan jualan 26 peratus lebih tinggi iaitu sebanyak 8,349 unit berbanding 6,637 unit yang direkod tempoh sama 2022 dengan Toyota Vios, Hilux dan Corolla Cross model terlaris.
Sementara itu, jualan Perodua melonjak kepada 28,431 unit atau 55 peratus daripada 18,346 unit yang didaftarkan Julai 2022, didorong oleh peningkatan dalam pengeluaran, disokong oleh rantaian bekalan yang bertambah baik. – UTUSAN










