TNB wujud Laluan Lorong Hijau

TNB wujud Laluan Lorong Hijau

TENAGA Nasional Berhad. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mewujudkan Laluan Lorong Hijau, satu laluan eksklusif sebagai tawaran yang menyediakan solusi cekap dan mesra alam kepada syarikat-syarikat pengendali pusat data di Malaysia.

Menurut TNB, inisiatif itu mempercepatkan proses pendaftaran dan kelulusan, sekali gus melancarkan pembangunan serta operasi pusat-pusat data.

Melalui tawaran strategik ini, pusat-pusat data mendapat bekalan elektrik tiga kali lebih pantas daripada biasa, menying­katkan tempoh pelaksanaan daripada 36 ke 48 bulan kepada hanya 12 bulan.

Pusat Sehenti (OSC) pula memudahkan proses komunikasi secara langsung oleh pelabur dan perkhidmatan sokongan.

“TNB juga menawarkan bantuan penyelenggaraan 24 jam dan pelbagai bentuk penyelesai­an mengikut keperluan setiap pusat data. Kesemua faktor ini dijangka menarik lebih ba­nyak syarikat pusat data untuk mewujudkan operasi mereka di negara ini,” katanya.

Inisiatif tersebut dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB, Bangsar, Selasa lalu.

Pada majlis itu, TNB me­meterai lima kolaborasi strategik melalui Perjanjian Bekalan Elek­trik (ESA) dengan empat syarikat iaitu Yellowwood Properties Sdn. Bhd. (Yondr), AirTrunk Malaysia Sdn. Bhd. (AirTrunk), SIPP Power Sdn. Bhd. (SIPP) dan GDS IDC Malaysia Sdn. Bhd. (GDS) serta Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MRANTI Corporation Sdn. Bhd.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, pusat data penting sebagai nadi kepada dunia digital, tulang belakang yang mendukung kelancaran sistem ke­salinghubungan, memudahkan penyimpanan, pemperosesan dan penghataran maklumat dalam kapasiti besar yang mendayakan gaya hidup moden.

“Malaysia sudah pun membangunkan reputasi kukuh dalam sektor ini di pasaran Asia Tenggara susulan kedudukan geo-strategik negara serta landskap pelaburan yang kondusif dan menarik.

“Pasaran pusat data di Malaysia dijangka meningkat sebanyak AS$2.08 bilion (RM9.5 bilion) dari tahun 2021 hingga 2026 dengan momentum pertumbuhan pasaran dijana pada kadar CAGR 15.72 peratus.

“Laluan Lorong Hijau TNB ini menyokong matlamat tersebut dan keperluan pusat data, yang kewujudannya di Malaysia akan membantu merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk menarik pelaburan berkualiti teknologi tinggi,” ujarnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din pula berkata, TNB komited menjadi pembekal tenaga berdaya harap kepada semua projek pusat data selari dengan aspirasi negara membawa industri pusat data ke Malaysia dan menjadi hab pusat data serantau.

“Antara perkhidmatan yang disediakan TNB adalah perkhid­matan OSC untuk memenuhi setiap keperluan pusat data.

“Kami juga sentiasa mencari ruang dan peluang memperluas kerjasama dengan lebih ramai pengendali pusat data melalui solusi tenaga pintar, yang direka khas oleh anak syarikat milik penuh TNB yang pakar dalam teknologi hijau bagi memenuhi keperluan pelanggan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN