TBB: TNB, EDL Laos jalin kerjasama

TBB: TNB, EDL Laos jalin kerjasama

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Laos, Dr. Sonexay Siphandone menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dan Surat Niat antara Baharin Din (berdiri, kiri) dan Pengarah Urusan EDL, Chantaboun Soukaloun di Laos pada 27 Jun 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalin kerjasama dengan Electricite Du Laos (EDL) bagi menggalakkan perdagangan tenaga boleh diperbaharui (TBB) rentas sempadan dengan potensi nilai dagangan dari sehingga RM2.3 bilion selepas 2030 dan pembangunan modal insan.

Menurut TNB, kerjasama tersebut seiring usaha Kumpulan mengukuhkan kesalinghubungan Grid Tenaga ASEAN (APG) dan memperkasakan TNB Power Generation Sdn. Bhd. (TNB Genco) sebagai penjana tenaga di ASEAN.

TNB telah menyerahkan Surat Niat (LOI) kepada EDL dan melaluinya melibatkan cadangan penubuhan Jawatankuasa Kolaborasi bersama untuk mengoptimumkan sumber, mengukuhkan jaminan bekalan dan meningkatkan pengetahuan dan perkongsian kemahiran.

Ia boleh dicapai melalui mekanisme inovatif dalam pertukaran tenaga dengan memanfaatkan institusi pendidikan dan penyelidikan TNB.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, TNB yakin bahawa pengaruh EDL di sektor tenaga Laos menjadikannya rakan kongsi yang ideal.

Katanya, kerjasama tersebut membolehkan projek-projek manfaat bersama dibangunkan atas kekuatan kedua-dua belah pihak.

“Dengan permintaan TBB yang semakin meningkat, EDL yang berpengaruh di sektor tenaga Laos menjadikan rakan kongsi ideal untuk meneroka peluang sebegitu.” katanya dalam kenyataan.

Inisiatif itu seterusnya dapat menguatkan perkongsian strategik bersama syarikat tenaga utama itu, susulan TNB Genco-EDL telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk meneroka pelaburan dan peluang projek-projek TBB di Laos.

Kerjasama ini turut mengkaji kebolehlaksanaan eksport TBB dari Laos ke Malaysia melalui Projek Integrasi Tenaga Laos-Thailand-Malaysia (LTM-PIP) atau menggunakan pendekatan lain, dengan jangkaan nilai dagangan RM460 juta untuk 200MW pada tahun 2025 dan mencecah sehingga RM2.3 billion bagi 1,000MW selepas tahun 2030.

Tambahnya, merujuk kepentingan pembangunan modal insan, beliau berkata, TNB mempunyai institut pendidikan dan penyelidikan sendiri iaitu TNB Integrated Learning Solution (ILSAS),Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan TNB Research Sdn. Bhd.

“Dengan menggalakkan pertukaran kepakaran dan memupuk kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan, institusi-institusi ini boleh mewujudkan tenaga kerja yang berkemahiran untuk memacu inovatif dan menangani cabaran industri.

“Pendekatan ini boleh dimanfaatkan demi meningkatkan perkongsian pengetahuan dan kolaborasi antara TNB dan EDL. TNB bersedia untuk menjadi rakan strategik Laos untuk memupuk pertumbuhan dengan Laos merupakan ‘Bateri Asia Tenggara’,” ujarnya.

Tambahnya, TNB juga sentiasa terbuka untuk berkolaborasi dengan EDL dalam bidang lain sektor tenaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×