Sukuk kelestarian SME Bank terima anugerah - Utusan Malaysia

Sukuk kelestarian SME Bank terima anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: SME Bank menerima Anugerah Sukuk Kelestarian Terbaik bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) oleh The Asset Triple A pada majlis Anugerah Kewangan Islam 2023.

Sukuk Kelestarian yang memenangi anugerah itu merupakan terbitan Sukuk AAA kedua SME Bank yang diterbitkan pada Ogos 2022.

“Terbitan itu telah mencatatkan permintaan sebanyak RM536 juta melebihi jumlah awal yang disasarkan iaitu RM300 juta. Sukuk Kelestarian itu telah ditetapkan pada kadar keuntungan kompetitif 4.04 peratus, menjadikannya pilihan pelaburan yang menarik bagi pelabur yang mencari instrumen kewangan patuh syariah yang mampan,” kata SME Bank dalam kenyataan.

Sementara itu, Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Datuk Diwa (Dr.) Aria Putera Ismail berkata, pada 2022, SME Bank telah meluluskan pembiayaan bernilai RM3.25 bilion untuk sektor berkaitan ESG dan ia menandakan pencapaian
penting dalam komitmen Bank terhadap kelestarian.

Beliau berkata, dengan mendedikasikan dana khusus dan hasil daripada terbitan Sukuk, SME Bank dapat menyokong projek yang
menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, kemajuan sosial dan tadbir urus yang baik.

“Ini semua merupakan tonggak penting bagi ekonomi yang berkembang maju dan berdaya tahan. Tambahan pula, ini merupakan anugerah ke-6 yang diterima untuk Program Wakalah Sukuk Kelestarian kami.

“Dengan pengiktirafan ini, Bank bukan sahaja menunjukkan dedikasinya untuk memperjuangkan piawaian dan nilai etika tetapi juga mempamerkan keupayaan kami untuk memberi kesan positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

“Seiring langkah kami untuk terus memimpin melalui teladan, kami telah menetapkan tahap yang lebih tinggi untuk industri, memupuk landskap kewangan yang lebih mampan dan bertanggungjawab untuk masa depan,” katanya.

Menurut SME Bank, program Sukuk Wakalah itu telah diberi penarafan AAA dan telah mencapai piawaian Emas Malaysian Rating Corporation Bhd. (MARC), penarafan tertinggi di bawah rangka kerja Sukuk Kelestarian MARC.

Penarafan itu bukti kepada tahap kepercayaan kredit yang tinggi dan tadbir urus yang kukuh yang ditunjukkan oleh SME Bank dalam
usaha menyediakan pembiayaannya yang mampan.

Kejayaan terbitan Sukuk itu dicapai dengan sokongan dan kerjasama institusi kewangan seperti RHB Investment Bank Berhad, AmInvestment Bank Berhad, CIMB Investment Bank Berhad dan Maybank Investment Bank Berhad, jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya