Sime Darby, UMW bergabung, perkukuh sektor automotif serantau - Utusan Malaysia

Sime Darby, UMW bergabung, perkukuh sektor automotif serantau

SIME Darby merupakan penyumbang utama bagi 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengesahkan cadangan penggabungan UMW Holdings Berhad (Kumpulan UMW) dengan Sime Darby Berhad (Sime Darby) dalam usaha memperkukuh kehadirannya dalam sektor automotif domestik dan serantau.

PNB berkata, penggabungan dua pemimpin dalam industri automotif ini juga bertujuan merangsang agenda elektrifikasi, yang dijangka memacu pertumbuhan pelaburan, meningkatkan kecekapan, dan mencipta nilai untuk pemegang unitnya.

“Langkah strategik ini juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 oleh kerajaan, yang akan menyokong pertumbuhan selanjutnya sektor automotif terutamanya dalam
meletakkan kedudukan negara sebagai hab automotif bagi rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut terma perjanjian, Sime Darby akan membeli 61.2 peratus saham PNB dengan bayaran tunai keseluruhan sebanyak RM3.57 bilion atau RM5 setiap saham.

Setelah perjanjian ini menjadi tidak bersyarat, Sime Darby akan membuat tawaran umum untuk 38.8 peratus saham yang tidak dimilikinya dengan tujuan untuk mengeluarkan UMW dari Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai penggabungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, ini adalah langkah strategik untuk memperluas dan mengukuhkan kehadirannya dalam sektor automotif Malaysia.

“Ia dapat dilakukan dengan penambahan dua jenama berprestasi tinggi ke dalam portfolio kami iaitu Toyota dan Perodua. Urus niaga ini akan mengukuhkan kedudukan Sime Darby sebagai pemain automotif utama Malaysia.

“Sebagai rakan pilihan kepada jenama-jenama automotif yang paling dikagumi di dunia, kami sangat teruja berpeluang untuk bekerjasama dengan Toyota, salah satu pengeluar kereta terbesar dan paling dipercayai di dunia,” ujarnya.

Pengambilalihan ini akan meningkatkan pendapatan bersih setiap saham Sime Darby dan akan meningkatkan pulangan pemegang saham kumpulan.

Sime Darby berharap, pengambilalihan saham PNB ini akan selesai dalam tempoh tiga bulan dari tarikh SPA, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan kelulusan pemegang saham serta syarat-syarat penutupan lazim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN