Selaraskan usaha rapat jurang ekonomi antara negeri

Selaraskan usaha rapat jurang ekonomi antara negeri

NOOR Azlan Ghazali dalam sidang media khas ‘Ekonomi Madani: Mencapai Sasaran’di GSB UKM Bangi, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Usaha merapatkan jurang ketidakseimbangan pertumbuhan ekonomi setiap ne­geri yang melebar perlu diselaraskan, menurut penganalisis ekonomi.

Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (Minda-UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pertumbuhan ekonomi ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada beberapa negeri maju melalui pelaburan yang dibawa masuk.

Menurut beliau, hampir 60 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2019 disumbangkan oleh lima negeri yang diistilahkan sebagai ‘lokomotif ekonomi’ iaitu Selangor, Pulau Pinang, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur.

“Pertumbuhan ekonomi negara kita jelas tidak tersebar dengan baik kerana 60 peratus daripada KDNK datang daripada empat negeri dan satu wilayah.

“Sembilan lagi negeri kekal di bawah pertumbuhan serta pendapatan yang rendah dan ini merisaukan memandangkan Malaysia mungkin menjadi negara berpendapatan tinggi tetapi tidak melibatkan semua negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi Sidang Media Khas ‘Ekonomi Madani: Mencapai Sasaran’ di Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) UKM di sini, semalam.

Tambah beliau, sekiranya tiada tindakan khusus, beberapa negeri mungkin terus berada di kelompok terbawah.

“Ketidakseimbangan ini juga akan menyebabkan rakyat mempersoalkan bagaimana kita boleh menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi sedangkan di wilayah tertentu ekonomi dan pendapatan rakyat masih rendah dan perlahan.

“Perlu diingatkan 49 peratus rakyat Malaysia berada di sembilan negeri yang ketinggalan ini, jadi mereka akan terus mempersoalkan sama ada benar atau tidak kita keterhadapan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noor Azlan berkata, Malaysia tidak akan menjadi sebuah negara maju sekiranya pungutan cukai masih rendah serta tidak setaraf dengan saiz ekonomi negara.

Noor Azlan berkata, jumlah kutipan cukai negara bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 11 hingga 12 peratus bagi tempoh lima tahun sejak 2018 sehingga 2022, malah lebih rendah berbanding negara seperti Kemboja.

“Kita hendak hidup seperti negara maju tetapi kita bayar cukai seperti negara miskin dan ini tidak betul sama sekali kerana apabila kita bayar cukai ia adalah untuk manfaat kepada kita.

“Sebab itu, kerajaan perlu memainkan peranan dengan meyakinkan rakyat bahawa duit cukai itu dipulangkan semula kepada mereka,” katanya.

Sehubungan itu katanya, persepsi rakyat mengenai cukai perlu diubah melalui Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) yang bakal dilaksanakan kelak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN