Pulangan pelaburan KWSP dijangka kekal stabil

Pulangan pelaburan KWSP dijangka kekal stabil

Malaysia memerlukan pembaharuan kerana peningkatan jangka hayat dan asas cukai yang mengecil mengancam kemampanan skim pencen sedia ada.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pulangan pe­laburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka stabil untuk suku berbaki tahun 2023 setelah mencatat pendapatan pelaburan melebihi purata pasaran pada separuh pertama tahun ini.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, ia berikutan masih terdapat ancaman kenaikan kadar faedah kepada aliran pasaran kewangan dunia, yang mungkin dipengaruhi oleh kadar inflasi dan pergolakan geo-politik semasa.

“Perdagangan dunia juga di­jangka lebih perlahan untuk separuh kedua 2023 berikutan ekonomi China yang mula menghadapi trend penurunan eksport bulanannya disebabkan kurangnya permintaan dari pasaran utama di barat.

“Ini juga memberi kesan kepada penurunan mata wang yuan dan keseluruhan pasaran kewangan Asia.

“Justeru, KWSP dijangka akan terus berhati-hati dalam melaksanakan pelaburannya secara lebih strategik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan seba­nyak RM33.19 bilion bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2023, meningkat 39.74 peratus atau RM9.44 bilion berbanding RM23.75 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama 2022.

Jumlah itu adalah selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk tempoh berke­naan.

Mengulas mengenai prestasi memberangsangkan pengurus dana persaraan itu, Aimi Zulhazmi berkata, laporan pe­ningkatan pendapatan KWSP yang begitu baik untuk separuh pertama 2023 berbanding tempoh sama tahun lalu menunjukkan kebolehan pengurusan pelaburannya.

Ujarnya, ini kerana KWSP berjaya mendapatkan keuntu­ngan yang baik di dalam suasana ekonomi global yang cukup mencabar.

“Pengurusan KWSP berjaya menjangkakan kesan kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) oleh Rizab Persekutuan (Fed) secara positif bagi membuat pelaburan yang menguntungkannya.

“Ini termasuk pegangan mata wang asing, pelaburan ekuiti di luar dan di dalam negara,” ujarnya.

Beliau menambah, ia juga me­ngekalkan peratusan pela­buran di antara pasaran ekuiti tempatan dan pelaburan KWSP di bursa-bursa luar negara lain.

“Peratusan pulangan tinggi yang berjaya dicapai oleh KWSP adalah melebihi purata pula­ngan pelaburan ekuiti.

“Ini adalah bukti kebijaksanaan KWSP melaksanakan strategi pelaburan dengan menggabungkan pecahan portfolio di antara simpanan tetap, ekuiti, luar dan dalam negara serta pegangan mata wang asing,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, jangkaan separuh kedua 2023 bagi KWSP akan menyaksikan peningkatan pendapatan pelaburan.

“Namun, kadar pertumbuhan mungkin sedikit perlahan dari separuh tahun pertama kerana pertumbuhan perlahan ekonomi global pada tahun ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN