PETALING JAYA: Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) memperkenalkan Sijil Simpanan Islamik (SSi) untuk menggalakkan orang ramai menyimpan, pada masa yang sama memberi ganjaran termasuk hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta.
SSi merupakan produk baharu Bank di bawah Akaun Berjangka Tetap-i berkonsepkan Tawarruq yang ditambah baik.
Produk itu menawarkan pelbagai hadiah menarik berjumlah lebih RM3.0 juta dan memberi dua kali peluang kepada pelanggan untuk memenangi hadiah RM1 juta melalui cabutan pada November 2023 dan Februari 2024, sekaligus menjadi Jutawan SSi.
SSi terbuka kepada semua pelanggan baharu atau sedia ada berusia 12 tahun dan ke atas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Bank Muamalat komited dalam menjamin masa depan kewangan yang sejahtera untuk pelanggannya.
Kata beliau, Bank Muamalat teruja untuk memperkenalkan SSi yang menyediakan penyelesaian simpanan inovatif, patuh syariah, menggabungkan kadar keuntungan yang lebih menarik dan pilihan tempoh yang fleksibel.
“Misi kami adalah jelas, untuk memperkasa setiap individu dalam memperkukuh simpanan serta memastikan kewangan yang berdaya tahan dan, akhirnya, mencipta “Kehidupan lebih baik, bersama,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bank itu, orang ramai boleh melanggan SSi dengan membuka akaun SSi melalui pelbagai saluran seperti Platform Aplikasi Muamalat (MAP), Perbankan Internet Runcit i-Muamalat (RIB), atau dengan mengunjungi mana-mana cawangan Bank Muamalat yang berhampiran.
“Bagi pelanggan sedia ada, Bank Muamalat masih meneruskan kempen Super Saver 2023 pada tahun ini bermula dari 1 Mac 2023 sehingga 29 Februari 2024 untuk Akaun Simpanan-i Tawarruq dan Akaun Pelaburan Tidak Terhad Mudarabah (SURIA).
“Namun, produk SSi yang diperkenalkan merupakan kempen utama, memberikan pelanggan akses kepada ciri-ciri dan faedah yang baharu, termasuk peluang memenangi 754 hadiah, dengan hadiah utama berupa wang tunai RM1 juta, kereta mewah (Mercedes C200 dan Mercedes A200), baucar perjalanan, iPad dan hadiah tunai yang lain,” katanya. – UTUSAN










