PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia mengekalkan trend peningkatan pada suku kedua 2023, dengan jumlah 16.73 juta tenaga buruh meskipun berhadapan pertumbuhan perlahan dalam guna tenaga dan penurunan lebih kecil bagi penganggur.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan permintaan buruh daripada industri mendorong pertambahan guna tenaga walaupun pada kadar yang perlahan pada suku kedua 2023, membawa kepada pengurangan kadar pengangguran berbanding setahun lalu.
Menurut beliau, situasi berkenaan menyumbang kepada perkembangan ekonomi yang positif di samping persekitaran global yang mencabar dengan merekodkan pertumbuhan yang sederhana sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023 berbanding pertumbuhan 5.6 peratus pada suku sebelumnya.
“Mencerminkan perkembangan dalam ekonomi, tenaga buruh meningkat 2.4 peratus untuk merekodkan 16.73 juta orang, kebanyakannya disumbangkan oleh kenaikan 2.8 peratus (ST1 2023: 3.1 peratus) dalam bilangan penduduk bekerja, merangkumi 16.15 juta orang pada suku kedua 2023.
“Bilangan penganggur pula menurun 9.5 peratus tahun-ke-tahun kepada 581,400 orang (ST1 2023: -12.6 peratus, 568,900 orang), mencatatkan kadar pengangguran negara pada 3.5 peratus semasa suku kedua 2023,” katanya.
Tambah beliau lagi, penyertaan buruh juga merekodkan kadar tertinggi berbanding tempoh sebelum pandemik sebanyak 70.0 peratus atau meningkat 0.8 mata peratus daripada suku yang sama tahun 2022.
Sementara itu, melihat kepada situasi guna tenaga tidak penuh, Mohd. Uzair berkata, pertumbuhan dalam guna tenaga dan upah sepanjang suku kedua 2023 menyebabkan bilangan penduduk bekerja kurang daripada 30 jam seminggu.
Jelas beliau, ia mencatatkan penurunan 13.6 peratus berbanding suku yang sama tahun 2022, dengan sejumlah 280,400 orang dan bilangan guna tenaga tidak penuh berkaitan masa menurun 12.5 peratus kepada 186,300, dengan kadar 1.2 peratus.
“Sebaliknya, guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran yang merujuk kepada mereka yang mempunyai berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah merekodkan seramai 1.91 juta orang dengan kadar 37.4 peratus.
“Walaupun terdapat peningkatan, hakikatnya lebih daripada satu pertiga penduduk bekerja yang berpendidikan tertiari berada dalam pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah,” katanya.
Mohd. Uzair berkata, secara keseluruhan, penawaran dan permintaan buruh kekal stabil pada suku kedua 2023 di samping ekonomi yang terus berkembang walaupun secara sederhana didorong oleh tadbir urus yang berkesan, pengukuhan keyakinan pengguna dan keadaan perniagaan yang lebih baik.
Ujar belaiu lagi, selepas merekodkan prestasi yang lebih baik pada separuh tahun pertama 2023, momentum pasaran buruh dijangka mengekalkan pertumbuhan yang stabil pada suku yang akan datang.
“Ia akan disokong oleh pembangunan ekonomi yang berterusan, inisiatif kerajaan dan pelaburan berkualiti yang akan mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi.
“Bagaimanapun, prospek ini tertakluk kepada pelbagai cabaran global dan domestik yang berpunca daripada situasi luar jangka yang mungkin berlaku pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










