Malaysia Airports tamatkan kontrak PESTECH Technology

Malaysia Airports tamatkan kontrak PESTECH Technology

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Airports (Sepang) Sdn. Bhd. (MA Sepang), anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah mengeluarkan notis penamatan kontrak kepada PESTECH Technology Sdn. Bhd. (PTSB).

Ia berhubung kontrak Reka Bentuk, Pembekalan, Pemasangan, Pengujian dan Pentauliahan untuk Automated People Mover (APM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

PTSB telah dilantik oleh MA Sepang sebagai kontraktor Reka Bentuk dan Bina (D&B) untuk Program Penggantian Aerotrain KLIA pada 14 Disember 2021 melalui proses tender terbuka.

Penamatan itu antara lain disebabkan ketidakprestasian PTSB, menjejaskan pencapaian penting projek dan berisiko kelewatan melaksanakan projek dalam tempoh yang ditetapkan.

Keputusan telah diambil oleh Lembaga Pengarah MAHB, dengan mematuhi prinsip tadbir urus MAHB dan berdasarkan pemantauan rapi pembangunan progresif projek APM oleh pengurusan MAHB dan perunding bebasnya.

Pengarah Urusan MAHB, Datuk Seri Iskandar Mizal Mahmood berkata, projek itu amat penting untuk memastikan keselesaan dan kemudahan penumpang melalui KLIA.

“Fokus kami adalah pada penghantaran aerotrain yang tepat pada masanya sambil mematuhi kawalan kualiti yang ketat dan piawaian keselamatan projek, tanpa kompromi terhadap operasi dan proses tadbir urus kami,” katanya dalam kenyataan.

Menurut MAHB, PTSB didapati telah melanggar kewajipannya di bawah kontrak dan telah gagal untuk membetulkan perkara yang sama dalam tempoh masa ditetapkan.

Berikutan Notis Penamatan itu, yang didahului dengan Notis Ingkar kepada PTSB, MA Sepang akan dibolehkan untuk memulakan semula dan menyiapkan kerja-kerja melalui penglibatan pihak lain yang berkaitan, dengan tumpuan untuk memastikan projek disiapkan mengikut jadual.

MAHB kekal komited untuk memperuntukkan sumber yang diperlukan untuk meminimumkan sebarang kemungkinan kelewatan kepada Projek APM, jelasnya.

Berkuat kuasa serta-merta, MA Sepang akan mempercepatkan perundingan dan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan sedia ada yang terlibat dalam Projek APM untuk kesinambungan dan mengurangkan sebarang kelewatan.

Ia termasuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan yang terlibat dalam projek penggantian landasan dan sistem kereta api, serta mengenal pasti kontraktor pihak ketiga yang berpengalaman dan boleh dipercayai untuk memastikan kemajuan yang konsisten bagi semua komponen projek. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN