Kerangka Ekonomi Madani asas penyusunan semula ekonomi

Kerangka Ekonomi Madani asas penyusunan semula ekonomi negara

BANK Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus pada mesyuarat esok. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerangka Ekonomi Madani menjadi asas bagi penyusunan semula ekonomi Malaysia secara menyeluruh dalam jangka masa panjang, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

GabenorBNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata, adalah penting untuk Malaysia mula memberi tumpuan kepada pertumbuhan berkualiti yang inklusif dan mampan dalam jangka masa panjang.

“Berdasarkan kerangka itu, sektor perindustrian akan disokong oleh pelaburan berkualiti. Visi ekonomi Malaysia juga termasuk mewujudkan pekerjaan berkualiti dan bergaji tinggi, meletakkan negara kita sebagai destinasi pelaburan yang berdaya saing di peringkat global, di samping menjadi ekonomi yang berdaya tahan iklim dan lebih lestari.

“Selain itu, berlandaskan kerangka itu juga tadbir urus fiskal dan ketelusan akan dipertingkatkan, yang akan melonjakkan keyakinan pelabur dan juga agensi penarafan kredit,” katanya pada sidang akhbar mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua 2023 Malaysia di sini, pada Jumaat.

Perincian lanjut mengenai Ekonomi Madani dijangka akan turut disentuh oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Parlimen pada 11 September ini.

Abdul Rasheed berkata, transformasi yang digariskan dalam Ekonomi Madani juga akan membolehkan Malaysia mencapai ekonomi berdaya tahan iklim dan lebih hijau serta penambahbaikan tadbir urus fiskal.

Beliau berkata, antara inisiatif utama untuk memacu pertumbuhan itu termasuklah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pembentangan Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA).

“Dalam jangka masa pendek, kita boleh menjangkakan untuk melihat sokongan positif kepada pertumbuhan daripada pelaksanaan beberapa projek pemangkin penting di bawah NETR,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, Ekonomi Madani juga akan membantu pengukuhan pasaran buruh negara yang terus bertambah baik pada suku kedua tahun ini dengan kadar pengangguran menurun kepada 3.4 peratus pada Jun lalu didorong oleh pertumbuhan guna tenaga yang stabil.

Katanya, segmen yang terdedah seperti wanita dan belia juga pulih ke tahap sebelum pandemik Covid-19.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan seperti penyertaan dalam kalangan buruh wanita masih rendah. Penyertaan lebih besar peratusan buruh wanita ini juga salah satu daripada bidang tumpuan rangka kerja Ekonomi Madani,” katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Rasheed berkata, keadaan pembiayaan yang menyokong dan penerusan projek baharu serta sedia ada akan turut menyokong pertumbuhan pelaburan pada 2023.

Beliau berkata, pertumbuhan negara akan terus disokong oleh aktiviti pelaburan dengan pembiayaan untuk modal perbelanjaan akan datang, begitu juga dengan niat pelaburan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN