KUALA LUMPUR: Malaysia mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 2.9 peratus pada suku kedua 2023, selepas merekodkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 5.6 peratus suku sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan pada suku kedua didorong terutamanya oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan.
Beliau berkata, perbelanjaan penggunaan akhir swasta dan pembentukan modal tetap kasar terus memacu pertumbuhan ekonomi pada suku berkenaan.
Kataya, bagi separuh pertama 2023, ekonomi Malaysia berkembang 4.2 peratus berbanding 6.8 peratus tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Dari segi prestasi sektoral, sektor perkhidmatan meningkat 4.7 peratus pada suku tahun kedua 2023.
“Prestasi memberangsangkan ini disumbangkan oleh subsektor perdagangan borong dan runcit sebanyak 4.7 peratus, pengangkutan dan penyimpanan (13.5 peratus), perkhidmatan perniagaan (10.7 peratus) dan penginapan (49.0 peratus).
“Walau bagaimanapun, beberapa subsektor utama iaitu makanan dan minuman tumbuh pada kadar lebih perlahan 1.6 peratus, manakala kewangan dan insurans menunjukkan penurunan sebanyak 4.7 peratus. Bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, sektor perkhidmatan meningkat 2.7 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, perbelanjaan penggunaan akhir swasta atau isi rumah yang menyumbang 60.7 peratus kepada KDNK, meningkat 4.3 peratus disokong oleh penggunaan yang lebih tinggi dalam perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (6.3 peratus) diikuti oleh komunikasi (7.1 peratus) dan pengangkutan (6.1 peratus).
Kata beliau, bagi terma pelarasan musim suku tahun ke suku tahun, prestasi keseluruhan perbelanjaan penggunaan akhir swasta mencatatkan peningkatan 5.9 peratus.
Tambah beliau, perbelanjaan penggunaan akhir kerajaan meningkat 3.8 peratus dipacu oleh pertumbuhan dalam perbelanjaan bagi bekalan dan perkhidmatan.
Sementara itu, eksport dan import masing-masing menyusut 9.4 peratus dan 9.7 peratus berikutan permintaan global yang lemah terhadap eksport dan import barangan.
“Walau bagaimanapun, eksport perkhidmatan meningkat terutamanya disokong oleh peningkatan kemasukan pelancong antarabangsa. Lanjutan itu, Eksport bersih turun 3.7 peratus berbanding peningkatan 54.4 peratus pada suku tahun sebelumnya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bank Negara Malaysia (BNM) menjangka pertumbuhan KDNK pada 2023 antara 4.0 hingga 5.0 peratus.
Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour berkata, jangkaan itu didorong oleh pemulihan yang berterusan dalam pasaran buruh, pelaksanaan projek pelaburan baharu dan sedia ada dan peningkatan dalam aktiviti pelancongan.
Bagaimanapun kata beliau, untuk mencapai sasaran itu, pertumbuhan KDNK pada separuh kedua 2023 perlu berada dalam purata 3.7 peratus.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangka pertumbuhan akan terus dipacu oleh peningkatan permintaan dalam negeri di tengah-tengah kelemahan dalam permintaan luar.
“Permintaan dalam negeri akan dipacu terutamanya oleh penggunaan swasta, pelaburan swasta, pelaburan awam, pengguna awam dan eksport bersih.
“Bagi bahagian bekalan, pertumbuhan akan terus dipacu oleh sektor perkhidmatan dan pembinaan,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Shaik Abdul Rasheed berkata, penggunaan swasta yang meningkat 4.3 peratus pada suku kedua 2023, kekal menjadi sauh pertumbuhan ekonomi negara.
Ujarnya, ia akan disokong oleh perbelanjaan isi rumah yang disokong oleh pelaburan berterusan atau penambahbaikan dalam pasaran buruh di mana langkah dasar juga disediakan untuk membantu sasaran isi rumah yang berdepan masalah kos sara hidup yang lebih tinggi.
“Langkah dasar itu termasuk pemindahan tunai, langkah berkaitan buruh dan kawalan harga ke atas bahan api dan bahan makanan terpilih
“Dari segi pasaran buruh, kami menjangkakan kadar pekerjaan akan berkembang sebanyak 2.4 tahun ini manakala kadar pengangguran yang berada pada 3.4 peratus pada Jun akan menurun,” katanya. – UTUSAN










