IPP Jun 2023 susut 2.2 peratus

IPP Jun 2023 susut 2.2 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 2.2 peratus pada Jun 2023, berbanding pertumbuhan 4.8 peratus bulan sebelumnya, berikutan kemerosotan sektor pembuatan dan perlombongan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, kejatuhan disebabkan kemerosotan dalam sektor Pembuatan dan Perlombongan masing-masing mencatatkan negatif 1.6 peratus (Mei 2023: 5.1 peratus) dan negatif 6.4 peratus (Mei 2023: 2.9 peratus).

Sementara itu, katanya, pengeluaran sektor elektrik menyederhana kepada 2.8 peratus berbanding 5.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya. Bagi perbandingan bulan ke bulan, IPP meningkat 2.2 peratus berbanding 7.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Kemerosotan dalam pengeluaran Pembuatan pada Jun 2023 adalah dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan sebanyak 3.9 peratus dalam industri berorientasikan eksport (Mei 2023: 2.8 peratus). Ia merupakan penyusutan kedua dalam industri berorientasikan eksport pada tahun ini, susulan penurunan pada bulan April 2023.

“Penurunan industri berorientasikan eksport pada Jun 2023 dipengaruhi terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-10.8%); dan pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-4.0 peratus).

“Kemerosotan ini juga adalah selari dengan prestasi eksport negara yang jatuh 14.1 peratus pada Jun 2023. Di peringkat global, situasi yang sama turut dialami oleh pelbagai negara yang berdepan dengan ketidaktentuan dalam permintaan luaran bagi barangan sekali gus mempengaruhi prestasi industri berorientasikan eksport negara pada bulan Jun 2023,” katanya dalam kenyataan.

Sebaliknya, Mohd. uzir berkata, industri berorientasikan domestik terus berkembang walaupun pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 4.1 peratus berbanding 10.1 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Peningkatan dipacu oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (6.7 peratus); dan pembuatan produk prosesan makanan (5.8 peratus). Berbanding bulan sebelumnya, pengeluaran sektor pembuatan meningkat 5.5 peratus, mengekalkan momentum positif untuk dua bulan berturut-turut.

Mohd. Uzir menambah, pengeluaran sektor perlombongan menurun 6.4 peratus pada Jun 2023, mencatatkan kadar pertumbuhan terendah sejak Mei 2022 (-7.4 peratus). Penyusutan dipengaruhi oleh kejatuhan dalam kedua-dua gas asli dan minyak mentah dan kondensat, dengan masing-masing merekodkan negatif 7.8 peratus (Mei 2023: 4.5 peratus) dan negatif 4.5 peratus (Mei 2023: 0.6 peratus).  Bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks perlombongan jatuh 7.7 peratus berbanding pertumbuhan positif 7.6 peratus yang direkodkan pada Mei 2023.

Namun begitu, pengeluaran Elektrik meningkat sederhana sebanyak 2.8 peratus pada Jun 2023, selepas pertumbuhan 5.9 peratus pada bulan lalu. Berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik menurun 5.3 peratus berbanding pertumbuhan positif 9.3 peratus yang dicatatkan pada bulan Mei 2023, jelas beliau.

Secara keseluruhan, pada suku kedua 2023, IPP mencatatkan penurunan marginal 0.3 peratus berbanding pertumbuhan 2.9 peratus yang direkodkan pada suku pertama 2023.  Pada tempoh tersebut, indeks perlombongan merosot 2.8 peratus, manakala sektor Pembuatan meningkat sedikit sebanyak 0.1 peratus.

Namun begitu, penjanaan elektrik meningkat 2.8 peratus, meneruskan aliran menaik bagi dua suku tahun berturut-turut.

Merumuskan mengenai prestasi IPP bagi enam bulan pertama tahun 2023, Ketua Perangkawan berkata: “IPP menyederhana kepada 1.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya (Januari – Jun 2022: 5.4 peratus). Peningkatan ini disokong oleh indeks pembuatan (1.7 peratus) dan indeks elektrik (1.6 peratus). Sebaliknya, indeks perlombongan turun sebanyak 0.4 peratus.”- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN