PETALING JAYA: Inflasi Malaysia terus mereda pada Julai kepada 2.0 peratus iaitu yang terendah setakat tahun ini dengan mata indeks mencatatkan 130.5 berbanding 127.9 bulan sama tahun lalu, lapor Jabatan Perangkaan (DOSM).
DOSM dalam satu kenyataan berkata, kadar inflasi yang mencatat 2.4 peratus bagi tahun ke tahun pada Jun juga menunjukkan aliran yang menyederhana sejak Januari pada 3.7 peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan perlahan kadar inflasi itu didorong oleh kenaikan lebih rendah bagi kumpulan restoran dan hotel pada 5.0 peratus (Jun 2023: 5.4 peratus) dan makanan minuman bukan alkohol sebanyak 4.4 peratus (Jun 2023: 4.7 peratus).
Katanya lagi, ia diikuti oleh kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 2.6 peratus serta kedua-dua kumpulan kesihatan dan pendidikan dengan masing-masing meningkat sebanyak 2.0 peratus.
“Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus Jun lalu.
“Komponen makanan di rumah merekodkan peningkatan lebih rendah untuk lima bulan berturut-turut kepada 3.0 peratus pada Julai 2023 berbanding 3.2 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya,” katanya.
Tambah beliau lagi kenaikan komponen makanan di rumah didorong terutamanya oleh sub kumpulan daging (5.5% peratus); beras, roti dan bijirin lain (4.5 peratus); susu, keju dan telur (4.3 peratus) dan gula, jem, madu, coklat dan manisan (3.5 peratus).
“Selain itu, komponen Makanan di luar rumah juga turut mereda kepada 6.2 peratus berbanding 6.8 peratus yang direkodkan pada Jun 2023,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd. Uzir berkata, sembilan negeri merekodkan peningkatan inflasi di bawah paras nasional sebanyak 2.0 peratus dengan Wilayah Persekutuan Labuan merekodkan peningkatan paling rendah sebanyak 1.1 peratus pada Julai 2023.
Beliau berkata, bagaimanapun hanya enam negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pahang, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan 2.6 peratus, Perak dan Selangor sebanyak 2.4 peratus dan Melaka sebanyak 2.2 peratus.
Katanya lagi, inflasi makanan dan minuman bukan alkohol bagi semua negeri mencatatkan peningkatan dengan peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 6.0 peratus.
“Ia diikuti oleh Selangor (5.6 peratus), Sarawak (5.5 peratus), Pahang (4.8 peratus), Perak (4.5 peratus) dan Melaka (4.4 peratus).
“Sementara itu, negeri-negeri lain menunjukkan peningkatan di bawah paras inflasi makanan dan minuman bukan alkohol iaitu 4.4 peratus pada Julai 2023,” katanya.
Bagi perbandingan dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia pada kadar 2.0 peratus adalah lebih rendah berbanding Zon Euro (5.3 peratus), Filipina (4.7 peratus), Singapura (4.1 peratus), Amerika Syarikat (3.2 peratus), Indonesia (3.1 peratus), Republik Korea (2.3 peratus) dan Vietnam (2.1 peratus). – UTUSAN










