PETALING JAYA: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) meluluskan 57 Hak Trafik Udara (ATR) kepada sektor penerbangan awam di Malaysia dari April hingga Jun 2023, terdiri daripada 45 laluan udara antarabangsa dan 12 laluan domestik.
Menurut MAVCOM, permohonan ATR menyaksikan peningkatan yang ketara pada suku kedua 2023 berbanding suku sama tahun lalu iaitu penambahan signifikan sebanyak 87.5 peratus, menandakan momentum yang lebih kukuh dalam sektor penerbangan.
Sementara industri penerbangan meneruskan pemulihan, Suruhanjaya turut melaporkan penurunan dalam permohonan ATR sebanyak 11.7 peratus pada suku kedua 2023 berbanding suku pertama tahun ini.
Jika dibandingkan dengan suku kedua 2019, permohonan ATR yang diterima menunjukkan kenaikan sebanyak 5.3 peratus.
Di samping itu, suku tinjuan juga menyaksikan penambahan sebanyak 12 ATR yang diberi bagi sektor antarabangsa berbanding tempoh yang sama pada 2019, menandakan industri penerbangan semakin pulih dan sedang berkembang pesat.
Pengerusi Eksekutif MAVCOM, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, Suruhanya meluluskan ATR untuk pelbagai destinasi baharu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan industri penerbangan Malaysia kekal dinamik dan responsif terhadap trend perjalanan global.
Katanya, langkah-langkah itu telah diambil secara khususnya untuk meningkatkan kesalinghubungan udara, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memangkin pemulihan sektor penerbangan.
“Peningkatan ketara dalam permohonan dan kelulusan ATR pada suku kedua, berbanding tempoh yang sama pada 2022, membuktikan daya tahan industri penerbangan yang sedia ada serta keupayaan industri untuk mengubah suai dan berkembang maju,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, MAVCOM berkata, AirAsia dan syarikat subsidiari logistiknya, Teleport, telah menerima 16 ATR untuk laluan udara antarabangsa dan domestik menjadikannya, penerima kelulusan tertinggi pada suku tersebut.
Pada suku yang ditinjau, Batik Air diberi kebenaran untuk membuat penerbangan ke destinasi-destinasi baharu termasuk Tashkent, Uzbekistan serta Okinawa, Jepun melalui Taipei, manakala AirAsia X menerima ATR untuk menyediakan perkhidmatan laluan udara ke Almaty, Kazakhstan.
“Pada masa yang sama, Teleport telah menerima ATR untuk laluan-laluan udara di Hong Kong dan sektor-sektor utama di Malaysia Timur iaitu Kota Kinabalu, Kuching dan Tawau.
“Selaras dengan strategi Malaysia Aviation Group (MAG) untuk membangunkan Kota Kinabalu sebagai hab serantau bagi Firefly, kelulusan ATR telah diberikan oleh Suruhanjaya untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Narita dan Taipei pada Mei 2023,” ujarnya.
Di samping itu, MAVCOM meluluskan ATR MYAirline ke destinasi di Indonesia, Vietnam dan Thailand, meluaskan kesalinghubungan udara Malaysia dalam rantau ASEAN.
Berikutan kelulusan ATR yang diberikan, MYAirline telah mula beroperasi ke Bangkok, Thailand sejak Jun 2023. – UTUSAN










