Forest City komited jayakan projek mega

Forest City komited jayakan projek mega

WALAUPUN pasaran masih perlahan ekoran pandemik Covid-19, namun Forest City komited merealisasikan pembangunan projek mega seperti dilaksanakan sejak 2015.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pemaju hartanah, Forest City komited menjayakan perancangan projek mega pembangunan seperti dilancarkan dalam pelan induk walaupun pasaran hartanah tempatan bergerak perlahan pasca pandemik Covid-19.

Timbalan Presiden Serantau Forest City, Ir. Syarul Izam Sarifudin berkata, rancangan jangka panjang Forest City untuk melaksanakan pembangunan mampan di kawasan melibatkan empat pulau buatan dengan keluasan lebih 7,000 ekar tidak pernah berubah.

Katanya, setakat ini tiada keperluan untuk mengubah perancangan bagi 10 tahun pertama projek itu yang dimulakan sejak 2015.

“Fasa pertama, iaitu antara 2015 hingga 2020 adalah untuk menyiapkan kediaman serta beberapa infrastruktur dan ruang perniagaan bagi menampung penempatan sedia ada, manakala tumpuan fasa kedua iaitu antara 2020 hingga 2025 pula untuk mencari lebih banyak pelaburan terutamanya dalam perdagangan, kewangan dan industri berteknologi tinggi.

“Syarikat kekal optimis membangunkan pulau buatan de­ngan sektor hartanah sebagai perniagaan teras.

“Walau bagaimanapun, atas faktor luar jangka seperti pandemik Covid-19 dan ekonomi global yang perlahan, perancangan pelan induk asal tetap dite­ruskan meskipun momentum pembangunan terkesan,” kata­nya dalam kenyataan di sini.

Namun, pihaknya bersedia untuk menyemak serta menilai semula perancangan pembangunan Forest City selepas 2025 sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Syarul Izam turut memberitahu, syarikat itu terus menyasarkan pembeli hartanah dari negara benua Asia, antaranya Hong Kong, Korea Selatan, Taiwan, Vietnam, Filipina dan Indonesia.

“Bagi merealisasikan usaha itu, Forest City komited mempergiatkan promosi di negara berkenaan tahun ini dan antara yang telah dilaksanakan adalah melantik lebih 100 ejen hartanah antarabangsa.

“Selain itu, Forest City turut mengalu-alukan individu tempatan yang berminat menyewa unit kedai di Forest City berikutan kawasan berkenaan dikelilingi pelbagai sektor industri seperti pelabuhan, kilang, pentadbiran kerajaan dan sebagainya,” katanya.

Projek Forest City telah dimulakan sejak 2015 dan hingga kini sebanyak 28,000 kediaman telah disiapkan dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 1,400 ekar.

Hingga kini, Forest City menempatkan dua buah hotel, dua padang golf bertaraf antarabangsa, kilang prefabrikasi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) terbesar di Malaysia, sekolah antarabangsa Shattuck St. Mary Forest City serta taman air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN