Fokus kepada kualiti FDI

Fokus kepada kualiti pelaburan langsung asing

ISHAM Ishak memotong riben sempena pembukaan hab pertama Demant di luar Eropah, di Demant Menara Southpoint, Kuala Lumpur, hari ini. -UTUSAN/ISKANDAR ISHAK.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberikan lebih fokus kepada kualiti pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke negara ini berbanding nilai, bagi memastikan ia menyokong pertumbuhan negara dan kualiti hidup rakyat.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak berkata, jumlah FDI yang tinggi bukanlah kayu pengukur terbaik kepada kejayaan sesebuah negara untuk menarik pelaburan berkualiti.

“Dengan Pelan Induk Industri Baharu yang bakal dilancarkan Perdana Menteri Jumaat ini, kita akan lebih selektif dengan kualiti FDI yang masuk.

“Tidak semestinya nilai FDI menandakan kejayaan sesebuah negara itu. Sebaliknya kualiti, apa limpahan yang dibawa kepada rakyat, serta teknologi yang dapat dikongsi dan proses penciptaan nilai yang dibina bersama.

“Selain itu, pelaburan yang masuk perlu dapat memasuki rantaian nilai dan memantapkannya lagi supaya ekosistem industri terlibat dapat diperkukuhkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan hab teknologi syarikat teknologi audio terkemuka Denmark, Demant di sini, hari ini.

Aliran masuk FDI negara pada suku tahun kedua 2023 menyederhana kepada RM3.1 bilion, berbanding RM12 bilion yang dicapai pada suku sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), penerima FDI terbesar adalah sektor perkhidmatan, terutamanya sektor profesional, saintifik dan teknikal, serta subsektor kewangan, dengan sumber utama FDI adalah dari Singapura, Taiwan dan Jerman.

Isham menambah, nilai FDI yang lebih rendah sama sekali tidak memberikan persepsi negatif kepada syarikat asing untuk datang melabur di sini.

“Buktinya ialah kehadiran syarikat seperti Demant, yang mana mereka menyatakan faktor mereka datang ke sini ialah terdapat sistem politik kukuh, sokongan kerajaan yang mantap dan komprehensif, infrastruktur yang maju serta ketersediaan kumpulan bakat yang berkemahiran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN