EVE Energy labur AS$422 juta bina kilang bateri litium-ion silinder

EVE Energy labur AS$422 juta bina kilang bateri litium-ion di Kulim

MAJLIS pecah tanah pembinaan kilang EVE Energy Co. Ltd. bagi pengeluaran bateri litium di Kulim, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: EVE Energy Co. Ltd., pengeluar bateri litium global terkemuka,hari ini mengadakan pecah tanah untuk pembinaan kilang baharunya di Kulim, Kedah dengan pelaburan awal sebanyak AS$422 juta (RM1.92 bilion).

Kilang itu akan menjadi kilang ke-53 EVE dan akan menumpukan pada pengeluaran bateri litium-ion silinder untuk menyokong perkakasan kuasa dan pembuatan kenderaan elektrik dua roda di negara ini dan di Asia Tenggara.

Pengarahnya, Joe Chen berkata, sejajar dengan kelebihan domestik dan pengalaman operasi EVE, pihaknya akan membina pangkalan pengeluaran bateri silinder di Malaysia untuk menyokong kenderaan dua roda elektrik dan peralatan kuasa di Malaysia.

“Projek permulaan ini akan dibina secara berperingkat dan tempoh pembinaan tidak melebihi tiga tahun. Ini merupakan peristiwa penting bagi EVE untuk mengembangkan perniagaan global kami, meningkatkan daya saing komprehensif dan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran global kami.

“Dan yang paling penting adalah, ia membolehkan kami menyumbang kepada pembangunan ekosistem kuasa elektrik di Malaysia,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) bagi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Lim Bee Vian berkata, perkembangan tersebut juga membuka jalan kepada lebih banyak syarikat untuk melabur di Malaysia dalam industri kenderaan elektrik (EV) dan ekosistemnya.

Menurutnya, dengan bekerjasama pemimpin industri seperti EVE, MIDA boleh memupuk persekitaran inovasi dan kemajuan teknologi.

“Projek ini selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dan Dasar Automotif Negara 2020 (NAP), kerana kami komited untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih-sifar menjelang 2050.

“Dengan menubuhkan kilang pembuatan bateri silinder ini di Malaysia, menunjukkan komitmen kami terhadap daya saing di pasaran antarabangsa,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN