PETALING JAYA: EP Manufacturing Berhad (EPMB) melaporkan keuntungan bersih RM13.32 juta pada suku kedua tahun kewangan 2023 berakhir 30 Jun 2023 (2Q TK2023).
Keuntungan bersih EPMB untuk 2Q TK2023 merupakan pemulihan daripada kerugian bersih RM1.73 juta pada suku kedua fiskal 2022 (2Q TK2022).
“Keputusan itu disokong oleh keuntungan RM13.6 juta daripada penjualan harta milik Kumpulan di Glenmarie, Shah Alam,” maklum syarikat itu dalam kenyataan.
Tanpa mengambil kira keuntungan daripada penjualan tersebut, EPMB melaporkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM0.1 juta daripada operasi, penurunan sebanyak 93.8 peratus daripada LBT RM1.60 juta daripada operasi pada 2Q TK2022.
Peningkatan prestasi itu katanya, didorong oleh lonjakan pendapatan sebanyak 28.1 peratus tahun ke tahun kepada RM137.86 juta, daripada RM107.63 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun lepas.
Untuk 2Q TK2023, EPMB melaporkan kerugian sebelum cukai (LBT) daripada operasi sebanyak RM0.1 juta, berbanding keuntungan sebelum cukai (PBT) daripada operasi sebanyak RM3.63 juta dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2023 (1Q TK2023).
Keuntungan bersih EPMB pada 1Q TK2023 adalah sebanyak RM3.55 juta. LBT daripada operasi terutamanya disebabkan oleh elaun untuk hutang ragu, serta perbelanjaan operasi tambahan (OpEx) yang dilaburkan bagi kilang EPMB di Tanjung Malim sebelum permulaan operasi pada bulan September.
Pendapatan suku dikaji merosot 9.4 peratus daripada RM152.12 juta pada suku sebelumnya. Jualan lebih rendah disebabkan cuti Hari Raya, yang menyebabkan tempoh kerja yang lebih pendek bagi suku tersebut.
Mengulas prestasi kewangan itu, Ketua Pegawai Kewangan EPMB, Ahmad Razlan Mohamed berkata, Kumpulan EPMB mencatatkan hasil sebanyak RM137.86 juta, berbanding RM107.63 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.
Kata beliau, peningkatan sebanyak RM30.23 juta ini didorong oleh jualan alat ganti automotive yang lebih kukuh, di mana pembuat kereta terus berusaha memenuhi pesanan tertunggak yang tinggi.
“Tambahan pula, kerugian bersih daripada operasi menurun dengan ketara, hasil yang kukuh walaupun terdapat peruntukan untuk hutang lapuk.
“Keputusan untuk membuat peruntukan ini didasarkan pendekatan berhemat dan konservatif kami terhadap pengurusan risiko. Kumpulan EPMB akan terus melaksanakan rancangan transformasi kami, yang termasuk menjadi pemaju mobiliti lestari,” katanya. – UTUSAN










