PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah dagangan bernilai RM216.4 bilion pada Julai 2023, dengan eksport sebanyak RM116.8 bilion dan import bernilai RM99.7 bilion.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, eksport Malaysia pada Julai turun sebanyak RM17.6 bilion (-13.1 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Kata beliau, penurunan dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Johor bernilai RM8.2 bilion, Sarawak (-RM3.4 bilion), Selangor (-RM3.4 bilion), W.P. Kuala Lumpur (-RM3.3 bilion), Terengganu (-RM1.1 bilion), Sabah (-RM860.5 juta), Melaka (-RM446.1 juta), Negeri Sembilan (-RM238.6 juta) dan Perak (-RM27.4 juta).
Walau bagaimanapun, katanya, nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM2.1 bilion, diikuti Kedah (+RM1.2 bilion), W.P. Labuan (+RM462.3 juta), Kelantan (+RM167.4 juta), Perlis (+RM6.4 juta) dan Pahang (+RM6.2 juta).
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 33.9 peratus, diikuti oleh Johor (19.6 peratus), Selangor (17.8 peratus), Sarawak (7.0 peratus) dan Kedah (4.4 peratus),” katanya.
Mengenai import, Mohd. Uzir berkata, import pada Julai turun sebanyak RM18.8 bilion (-15.9 peratus) berbanding bulan sama tahun sebelumnya.
Penurunan import disebabkan oleh import yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.8 bilion), Johor (-RM4.9 bilion), WP Kuala Lumpur (-RM2.5 bilion), Selangor (-RM2.0 bilion), Kedah (-RM1.2 bilion), Sarawak (-RM811.8 juta), Perak (-RM644.6 juta), Pahang (-RM427.5 juta), Negeri Sembilan (-RM405.6 bilion), Terengganu (-RM68.6 juta) dan Sabah (-RM49.3 juta).
Walau bagaimanapun, nilai import meningkat di Melaka sebanyak RM226.2 juta, W.P. Labuan (+RM136.7 juta), Kelantan (+RM20.2 juta) dan Perlis (+RM1.7 juta).
“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan 27.8 peratus, diikuti oleh Johor (22.9 peratus), Pulau Pinang (19.6 peratus), Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur (7.2 peratus) dan Sarawak (5.0 peratus),” katanya. – UTUSAN










