Cenergi kini anak syarikat baharu UEM Group

Cenergi kini anak syarikat baharu UEM Group

MOHD. IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cenergi SEA Berhad (Cenergi), kini anak syarikat UEM Group Berhad (UEM Group), susulan pengambilalihan pegangan saham majoriti syarikat itu daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Cenergi merupakan syarikat penyelesaiaan tenaga mampan. Ditubuhkan pada 2008, ia memiliki kepakaran dalam mengurangkan jejak karbon menerusi pelaburan dalam tenaga boleh baharu, terutama biogas, biomas dan solar serta projek kecekapan tenaga.

Cenergi merupakan pemain industri biogas sisa akhir efluen sawit (POME) bersambung grid terbesar di Malaysia. Ia memiliki portfolio 23 loji janakuasa biogas di Malaysia dan Indonesia, dengan kapasiti penjanaan keseluruhan sebanyak 39.6 megawatt (MW).

Di samping itu, ia juga mengendalikan 20 projek solar di seluruh Malaysia, melibatkan ladang solar dan solar atas bumbung, dengan kapasiti keseluruhan melebihi 37.6 megawatt peak (MWp).

“Ketika ini, Cenergi sedang dalam proses membina dan membangunkan pelbagai projek biogas, solar atas bumbung dan ladang solar di Malaysia. Anak syarikatnya, Cenergi EE Holdings Sdn. Bhd pula baru dianugerahkan kuota sebanyak 29.99MWac oleh Suruhanjaya Tenaga di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP),” menurut UEM Group dalam kenyataan.

Pengarah Urusan UEM Group, Datuk Mohd. Izani Ghani berkata, Cenergi memiliki rekod kerja yang cemerlang dalam pelbagai projek di seluruh negara.

Syarikat itu katanya, mempunyai potensi yang cukup baik dan Kumpulan komited untuk mengembangkannya di samping menyediakan sokongan dari segi kepakaran, pengoperasian dan kewangan untuk memperkasakan lagi keupayaan operasi Cenergi, selain meraih lebih banyak projek dan membuka jalan ke arah era pertumbuhan baharu.

“Cenergi merupakan aset penting UEM Group dan kami berazam untuk meletakkan Cenegi pada kedudukan selaku jaguh hijau tempatan untuk menyumbang ke arah masa hadapan Malaysia yang lebih lestari,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang Ogos 2012 sehingga Mei 2023, Cenergi merusi rangkaian aset dan pelaburannya telah mengurangkan sejumlah 2.4 juta tan pelepasan karbon, bersamaan dengan mengalihkan kira-kira 547,762 kenderaan penumpang dari jalan raya atau membekalkan tenaga kepada 310,234 rumah setahun.

Menurutnya, tenaga boleh baharu merupakan antara sektor utama serta yang diberi tumpuan segera oleh UEM Lestra Berhad (UEM Lestra), sayap industri hijau dan anak syarikat milik penuh UEM Group.

Ia setelah mengambil kira daya tarikan pasarannya yang kukuh serta kepentingannya dalam memacu agenda dekarbonisasi Malaysia.

“Pengalaman luas dan keupayaan Cenergi dalam sektor ini memberi nilai tambah yang cukup baik buat UEM Group dan UEM Lestra secara spesifiknya.

“Dalam pada masa sama, penyertaan Cenergi sebagai sebahagian daripada Kumpulan UEM Group akan membolehkannya berserta dengan anak-anak syarikat kami yang lain merentasi pelbagai perniagaan teras yang berbeza saling melengkapi secara strategik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×