Bursa Malaysia catat untung bersih RM76.25 juta

Bursa Malaysia catat untung bersih RM76.25 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad mencatatkan keuntu­ngan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM76.25 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (S2 TK2023) berbanding RM59.47 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan operasi yang lebih rendah.

Hasil bagaimanapun susut kepada RM144.60 juta pada S2 daripada RM151.89 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Menurut Bursa Malaysia, keuntungan selepas cukai, zakat dan faedah minoriti (PATAMI) bagi separuh pertama 2023 (1H TK2023) meningkat 3.9 peratus kepada RM132.42 juta berbanding RM127.44 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala hasil turun kepada RM301.10 juta daripada RM317.19 juta sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia mengaitkan keuntungan yang bertambah baik itu kepada penurunan 8.5 peratus dalam perbelanjaan operasi kepada RM131.1 juta pada 1H TK2023 daripada RM143.2 juta pada separuh pertama TK2022, terutamanya disebabkan oleh pembalikan sekali peruntukan.

Bursa Malaysia turut mengisytiharkan dividen interim sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 berjumlah kira-kira RM121.4 juta, mewakili nisbah pembayaran sebanyak 91.7 peratus.

Bursa Malaysia berkata, pasaran sekuriti melaporkan hasil dagangan sebanyak RM126.0 juta pada 1H TK2023, penurunan sebanyak 14.4 peratus berbanding RM147.2 juta pada 1H TK2022 berikutan purata nilai dagangan harian (ADV) yang lebih rendah untuk dagangan dalam pasaran (OMT) dan dagangan perniagaan langsung (DBT), berjumlah RM2.09 bilion berbanding RM2.46 bilion tahun lepas.

Katanya, halaju dagangan pada separuh pertama merosot kepada 28 peratus daripada 33 peratus tahun lepas, manakala dana yang diperoleh melalui tawaran awam permulaan (IPO) meningkat 8.9 peratus kepada RM2.3 bilion daripada RM2.1 bilion sebelumnya.

Jumlah hasil dagangan derivatif menurun sebanyak 6.9 peratus kepada RM44.5 juta pada 1H TK2023 daripada RM47.7 juta pada 1H TK2022, terutamanya disebabkan oleh yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah yang diperoleh dan bilangan kontrak hadapan minyak sawit mentah (FCPO) yang lebih rendah yang didagangkan dalam tempoh tersebut ditinjau.

“Bagi Pasaran Islam pula, lonjakan aktiviti dagangan di Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) membawa kepada peningkatan 15.5 peratus dalam hasil dagangan kepada RM8.8 juta pada 1H TK2023, meningkat daripada RM7.6 juta pada 1H TK2022 .

“Bursa Malaysia terus menumpukan pada membangunkan instrumen pelaburan patuh syariah baharu untuk memenuhi keperluan pelabur, termasuk pelaburan yang mampan dan bertanggungjawab, produk berciri wakaf dan Dinar Emas Bursa,” kata Bursa.

Sementara itu, hasil bukan dagangan meningkat 3.2 peratus kepada RM110.3 juta, didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam perniagaan data, yang mencatatkan hasil operasi RM32.9 juta, meningkat 5.6 peratus berbanding RM31.2 juta yang dijana pada 1H TK2022.

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, pihaknya optimistik dan berhati-hati dalam meme­nuhi petunjuk prestasi utama bagi TK2023.

Beliau berkata, Bursa Malaysia akan meningkatkan usaha memacu kerancakan pasaran melalui pelbagai langkah, termasuk menjadikan pelaburan lebih berpatutan, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

“Ketika mengharungi masa yang tidak menentu ini, prestasi kami digalakkan oleh potensi peningkatan yang timbul daripada potensi pertumbuhan yang dibentangkan oleh penilaian yang agak menarik bagi pasaran ekuiti kami dan jangkaan penstabilan persekitaran kadar faedah global.

“Faktor-faktor ini, ditambah pula dengan pengurangan kadar duti setem ke atas dagangan saham baru-baru ini, bersedia untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN