Bank pusat Indonesia, Malaysia, Thailand meterai MoU

Bank pusat Indonesia, Malaysia, Thailand meterai MoU

SHAIK Abdul Rasheed Ghaffour (atas pentas, kanan) menandatangani dokumen memorandum persefahaman bersama rakan sejawatannya dari Indonesia dan Thailand di Jakarta, Indonesia, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Indonesia (BI), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) memuktamadkan pemeteraian tiga memorandum persefahaman (MoU) dua hala, semalam.

Dalam kenyataan bersama, ketiga-tiga bank pusat membe­ritahu, MoU itu adalah rangka kerja kerjasama untuk mempromosikan transaksi dua hala dalam mata wang tempatan antara negara.

MoU telah ditandatangani oleh Gabenor BI, Perry Warjiyo; Gabenor BNM, Datuk Shaik Abdul Rasheed Ghaffour dan Gabenor BOT, Sethaput Suthiwartnarueput di luar Mesyuarat Menteri Kewangan ASEAN dan Gabenor Bank Pusat di Jakarta, Indonesia.

“Ketiga-tiga bank pusat komited untuk mengukuhkan kerjasama dalam penggunaan mata wang tempatan untuk urus niaga dua hala.

“Skop rangka kerja itu kini diperluaskan untuk memasukkan lebih banyak urus niaga rentas sempadan yang layak melangkaui perdagangan dan pelaburan langsung yang akan dilaksanakan secara beransur-ansur,” katanya, semalam.

Tambahnya, rangka kerja baharu itu juga akan bersinergi dengan inisiatif pembayaran rentas sempadan untuk penyelesaian mata wang tempatan yang lebih mudah dan cekap.

Jelasnya, MoU itu ditetapkan untuk mengukuhkan aktiviti ekonomi rentas sempadan, meningkatkan kestabilan pasaran kewangan serantau, dan memperdalam pasaran mata wang tempatan di tiga negara.

Katanya lagi, mereka menggantikan MoU mengenai rangka kerja penyelesaian mata wang tempatan yang ditandatangani antara tiga bank pusat pada 27 Ogos 2015 dan 23 Disember 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN