PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 4.50 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia 2 – Wawasan (ASM 2 Wawasan) bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2023.
Agihan pendapatan berjumlah RM1.04 bilion itu akan memanfaatkan 914,008 pemegang unit.
Agihan pendapatan ASM 2 Wawasan adalah bersamaan dengan jumlah pulangan sebanyak 4.50 peratus, mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12 Bulan Maybank yang berada pada paras 2.89 peratus sebanyak 161 mata asas bagi tahun kewangan sehingga 29 Ogos 2023.
Sehingga 29 Ogos 2023, dana tersebut memperoleh jumlah pendapatan kasar sebanyak RM1.08 bilion dan mencatatkan pendapatan bersih terealisasi sebanyak RM810.23 juta.
Pengagihan yang diisytiharkan oleh ASM 2 Wawasan akan dilaburkan semula secara automatik sebagai unit tambahan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 September 2023.
Urus niaga ASM 2 Wawasan di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platform digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 29 hingga 31 Ogos 2023.
Pemegang unit boleh melakukan semula urus niaga di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara bermula 1 September 2023. – UTUSAN