PETALING JAYA: AMMB Holdings Berhad telah memulakan perbincangan awal dengan Great Eastern Holdings Ltd berhubung penjualan usaha niaga MetLife Inc di Malaysia.
Menurut Bloomberg, urus niaga itu boleh menjadikan nilai AmMetLife, yang dimiliki bersama oleh syarikat Amerika Syarikat (AS) dengan AMMB Kuala Lumpur, pada AS$250 juta (RM1.13 bilion) hingga AS$300 juta.
Dalam maklumannya di Bursa Malaysia pada Selasa (1 Ogos), AMMB berkata, perbincangan itu adalah sebahagian daripada kajian semula perniagaannya.
“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa perbincangan ini masih di peringkat awal.
“Pada ketika ini, tidak ada kepastian bahawa kami akan memeterai sebarang perjanjian yang muktamad,” katanya.
Isnin lalu, media melaporkan bahawa Great Eastern sedang berbincang untuk membeli usaha niaga MetLife di Malaysia.
Anak syarikat Oversea-Chinese Banking Corp itu sedang menjalankan usaha wajar ke atas AmMetLife Insurance Berhad dan sedang mendapatkan kelulusan kawal selia untuk mencapai perjanjian itu.
AMMB berkata, pihaknya komited untuk mematuhi keperluan pendedahan yang ditadbir olehnya.
“Oleh itu, sebarang dan semua pengumuman berkaitan perkara ini akan dibuat mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities yang ketat,” katanya. – UTUSAN










