Al-Ikhsan Sports sasar pertumbuhan jualan 20 peratus 

Al-Ikhsan Sports sasar pertumbuhan jualan 20 peratus 

VACH PILLUTLA (kiri) dan Brian Ooi pada majlis pemeteraian kerjasama strategik antara Al-Ikhsan Sports dan ComeBy di The Curve, Kuala Lumpur, hari ini.  - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peruncit barangan sukan, Al-Ikhsan Sports menyasarkan peningkatan jualan antara 15 hingga 20 peratus di cawangannya menerusi perkongsian strategik dengan platform analitik runcit, ComeBy.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Vach Pillutla berkata, kerjasama itu membolehkan Al-Ikhsan Sports memanfaatkan banyak data, memahami kehendak dan keperluan pelanggan, mengoptimumkan operasi kedai serta memacu pertumbuhan hasil dengan lebih efektif.

Katanya, sebanyak 51 daripada 190 cawangannya terlibat dalam perkongsian strategik tersebut yang sebahagian besarnya berada di Lembah Klang.

“Sebanyak 51 cawangan dilengkapkan dengan platform ComeBy ini. Jika setiap cawangan dapat meningkatkan jualan antara 15 hingga 20 peratus maka akan memberi impak kepada 25 peratus daripada rangkaian kami.

“Oleh itu, kami menjangkakan peningkatan sebanyak tiga hingga lima peratus untuk keseluruhan jualan syarikat pada tahun ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pengalaman dalam kedai Al-Ikhsan Sports x ComeBy di cawangan The Curve di sini, hari ini.

Vach berkata, Al-Ikhsan Sports adalah peruncit pertama di negara ini yang bekerjasama dengan ComeBy dan menawarkan pengalaman  membeli-belah luar biasa  kepada pelanggan.

Dalam pada itu, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Comeby,  Brian Ooi berkata, kerjasama itu bermatlamat menggabungkan semua titik data ‘kuki luar talian’ (cookie offline).

Menurutnya, perkara itu akan memberikan Al-Ikhsan Sports pemahaman intensif ke atas setiap kedainya, supaya memahami pelanggan mereka mengenai apa yang diminati dan sebab pembatalan pembelian serta memberikan pengalaman membeli belah yang lebih peribadi.

“Kami menjejak pembeli melalui signal telefon mereka dari luar kedai sehinggalah ke zon tertentu dalam kedai sehinggalah sampai ke juruwang.

“Ini membolehkan Al-Ikhsan Sports menjejak pulangan pelaburan (ROI) di kedai mereka dan kempen pemasaran luar talian serta kadar penukaran bagi setiap cawangan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN