PERALATAN rumah pintar yang berasaskan internet sememangnya sesuai dengan peredaran zaman di mana kita lebih gemarkan produk canggih yang memudahkan kehidupan seharian kita.
Ia mempunyai banyak kelebihan termasuk kemampuan untuk mengawal semua peralatan dari jarak jauh dengan hanya menggunakan telefon pintar, malah lebih meyakinkan dari aspek keselamatan.
Bagi anda yang masih tercari-cari idea untuk melengkapkan rumah anda dengan produk canggih, ikuti tips yang disediakan RINGGIT kali ini.
PAGAR AUTOMATIK PINTAR
Pagar automatik bukan sahaja memudahkan penghuni rumah untuk keluar masuk, malah ia juga membantu mengetatkan lagi keselamatan rumah.
Jika pagar automatik hanya sekadar dibuka dengan menggunakan alat kawalan, smart autogate atau pagar automatik pintar mempunyai kelebihan lebih daripada itu.
Pagar automatik biasanya menggunakan alat kawalan jauh yang berkemungkinan akan kehabisan bateri, namun kebanyakan sistem pagar automatik pintar menggunakan sistem kawalan suara dan hanya menggunakan aplikasi di telefon bimbit.
Malah, sistem pagar automatik pintar ini juga mempunyai pilihan untuk dikendalikan dengan sambungan WiFi atau tanpa WiFi.

KUNCI PINTU RUMAH PINTAR
Pasti anda sering melihat penggunaan kunci pintu rumah pintar atau smart door lock yang hanya perlu menggunakan kata laluan peribadi ketika menonton drama Korea, bukan?
Namun, ia bukan sahaja boleh dikendalikan dengan menggunakan kata laluan, malah ia juga boleh dibuka menggunakan kunci fizikal, kad pintar dan aplikasi di telefon bimbit.
Produk canggih ini sudah tentu memudahkan kehidupan anda sekiranya anda terlupa membawa kunci rumah kerana anda hanya perlu memasukkan kata laluan sahaja untuk membuka pintu rumah.
SISTEM PENGGERA
Tidak lengkap rasanya rumah pintar yang selamat tanpa sistem penggera keselamatan yang baik. Sebenarnya, sistem penggera mempunyai beberapa kategori.
Sistem penggera atau smart alarm ini boleh diletakkan di beberapa lokasi dengan fungsi yang berbeza.
Contohnya, penggera keselamatan dan penggera kebakaran. Bagi penggera keselamatan, ia diletakkan bagi mengesan penceroboh yang mungkin berniat jahat dengan mengesan pergerakan pelik di kawasan rumah. Ia akan mengeluarkan bunyi penggera yang kuat bagi memberikan amaran.
Ia boleh dipantau dengan menggunakan telefon bimbit untuk memberi amaran secara terus kepada pengguna.
CCTV
Penggunaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah meluas bukan sahaja di tempat kerja atau jalan raya, malah ramai juga sudah melengkapkan rumah dengan CCTV yang boleh dikatakan produk wajib untuk rumah pintar anda.
CCTV ini bukan sahaja berguna untuk keselamatan keluarga anda daripada penceroboh daripada luar, ia juga boleh bertindak untuk mengawasi keselamatan keluarga anda di dalam rumah.
Lebih selamat, rakaman CCTV ini bolehlah digunakan sebagai bukti yang kukuh daripada sudut undang-undang.

LAMPU RUMAH PINTAR
Lampu rumah pintar sesuai dipasang di rumah bagi mereka yang inginkan penjimatan elektrik buat jangka masa panjang.
Walaupun hanya sekadar lampu, cahaya memainkan peranan penting bagi menghidupkan suasana dan menentukan mood anda sewaktu di rumah.
Contohnya, dengan lampu rumah pintar, anda bukan sahaja boleh mematikan suis lampu dengan aplikasi atau kawalan suara, malah anda boleh memilih warna lampu yang diinginkan bergantung dengan suasana yang diinginkan.
Selain itu, jika sebelum ini anda perlu bangun daripada katil hanya untuk mematikan suis lampu, ia kini boleh dilakukan dengan kawalan suara atau aplikasi di telefon bimbit anda sahaja.
Bukan itu sahaja, bagi kegunaan di dalam rumah, gunakan sahaja lampu sensor pergerakan yang hanya akan menyala apabila penghuni di rumah. Ini sekali gus dapat membantu anda menjimatkan bil elektrik!
SUIS PINTAR
Suis pintar atau smart plug merupakan salah satu lagi produk canggih yang anda perlu cuba bagi rumah pintar anda.
Dengan suis pintar ini, anda boleh menjadikan barangan elektrik biasa anda menjadi barangan elektrik pintar.
Dengan menggunakan aplikasi hanya di telefon bimbit, anda boleh mengawal bekalan elektrik pada barangan elektrik tersebut kerana anda hanya perlu memasang adaptor suis pintar ini pada plag utamanya.
Kemudian, melalui aplikasi di telefon bimbit, anda boleh membuka atau menutup suis pada barangan tersebut pada bila-bila masa.
Jadi, anda boleh menghidupkan televisyen pada waktu yang telah anda tetapkan, atau menghidupkan mesin kopi sebelum anda bangun dari tidur. – UTUSAN










