Ubah persepsi ‘hidup segan mati tak mahu’ terhadap LTAT, BHB

Ubah persepsi ‘hidup segan mati tak mahu’ terhadap LTAT, BHB – Mohamad

MOHAMAD Hasan merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2023 - 2025 (MAMPAN25) diiringi Adly Zahari (dua kanan); Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman (dua kiri), Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Nazim Rahman dan Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (kanan) di The Bousteador, Mutiara Damansara,hari ini. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) diminta mengubah persepsi negatif terhadap tabung persaraan anggota tentera itu bersama anak-anak syarikatnya termasuk Boustead Holdings Berhad (BHB).

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana LTAT dan BHB kini dilihat masyarakat seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ selepas apa yang terjadi sebelum ini.

Menurut Mohamad, LTAT tidak boleh membiarkan persepsi negatif sedemikian terus membelenggunya kerana sebagai sebuah tabung persaraan anggota tentera, ia perlu mempunyai maruah serta harga diri.

“Jika tidak mahu persepsi sebegitu, sesuatu yang drastik perlu dilakukan oleh LTA. Inilah hijrah yang mesti kita lakukan bersama kerana kebersamaan itu akan menjadi satu kekuatan kepada kita.

“Kita sudah biasa dengan zon selesa, tapi sekarang kita di dalam keadaan yang amat berbeza di mana dunia berubah dengan pantas dan apa yang dibentangkan perlu dipersetujui dan lakukanlah dengan setulus hati,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik LTAT 2023-2025 yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di sini, hari ini.

Mohamad juga turut mengingatkan LTAT agar menguruskan wang persaraan anggota tentera sebaik mungkin melalui pelaburan yang membawa pulangan tinggi serta tidak melonggok aset miliknya di satu tempat sahaja.

Beliau berkata, pelaburan yang tidak masuk akal perlu digantikan segera bagi mengelakkan tabung persaraan itu terus mengalami kerugian melalui anak-anak syarikatnya.

“Jadilah sebagai pengurus wang persaraan yang terbaik dalam negara dan bukanlah tempat diperkotak katikan dan diperlekehkan oleh pelbagai pihak.

“Banyak lagi aset yang LTAT ada perlu dibuka kuncinya selain turut menyiapkan diri melancarkan semula BHB milik kita dengan kegagahan dan azam yang baharu,” katanya.

Ahli Parlimen Rembau turut mengingatkan LTAT untuk menguruskan wang persaraan anggota tentera sebaik mungkin serta tidak mengkhianati amanah yang diberikan itu.

“Besar harapan mereka (anggota tentera), jangan khianati amanah diberikan kerana ini wang mereka dan ia perlu diuruskan sebaik mungkin.

“Tidak dapat pulangan baik tidak apa, kalau dapat lima peratus dividen setahun bagi saya itu sudah cukup menggembirakan mereka,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Pelan Strategik LTAT 2023-2025, Mohamad berkata, pelan penstrukturan semula itu memberi hala tuju jelas buat LTAT bagi melangkah ke hadapan dalam menghadapi pelbagai cabaran mendatang.

Jelas beliau antaranya dari segi cabaran ekonomi, melindungi kebajikan sosial para pencarumnya sekaligus menjadi pemangkin kepada transformasi untuk menjadi sebuah kumpulan wang simpanan yang mampan.

“Saya mengalu-alukan hasrat LTAT untuk mengembangkan dananya kerana ini juga akan membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, selaras dengan aspirasi kerajaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN