KEPELBAGAIAN reka bentuk dan corak tudung pada masa kini membuka peluang buat ramai pengusaha bagi memasarkan jenama mereka sendiri dengan menampilkan gaya fesyen yang unik kepada si pemakai.
Peluang tersebut turut digunakan sebaiknya oleh Hasmiza Hashim, 40, bagi menghasilkan tudung batik canting eksklusif yang diusahakannya sejak 2018.
Menariknya, tudung yang dihasilkan di bawah jenama Rumah Batik Hasmiza itu juga dikeluarkan hanya sehelai bagi setiap satu reka bentuk dan menjadikannya eksklusif.
Hasmiza berkata, dia menggunakan kreativitinya sendiri bagi menghasilkan corak pada tudung batik canting berkenaan dengan menggunakan warna-warna terang bagi menyerlahkan lagi penampilannya.
“Reka bentuk dan corak cantingan ini dihasilkan di studio saya mengikut kreativiti sendiri dan saya gemar menggunakan elemen warna-warna terang yang unik.
“Saya kebiasaannya akan menghasilkan corak berkenaan dengan mencari cetusan idea hasil ilham sendiri dalam menghasilkan rekaan unik,” katanya.
Hasmiza berkata, harga bagi tudung batik canting keluarannya itu juga dipasarkan secara berpatutan bermula dari RM49 sehingga RM199.
Katanya, buat masa ini, purata jualan tudung berkenaan juga boleh mencecah sehingga 2,000 helai bagi setiap bulan.
“Saya menggunakan kain sutera dan kapas bagi menghasilkan tudung berkenaan untuk memberikan kualiti terbaik kepada pembeli,” katanya.

Dalam pada itu, Hasmiza berkata, selain tudung batik canting, beliau juga memasarkan pelbagai jenis tudung lain terdiri daripada bawal dan selendang buat pembeli mereka.
Katanya, reka bentuk dan gaya tudung-tudung yang dihasilkannya juga mengikut fesyen terkini dengan pelbagai motif menarik bagi memberi lebih pilihan kepada orang ramai.
“Dengan penghasilan ini, penggemar tudung tidak perlu lagi ke Kelantan atau Terengganu untuk mendapatkan tudung batik canting yang berkualiti,” katanya.
Buat masa ini, Hasmiza berkata, pihaknya menjual tudung-tudung berkenaan secara dalam talian untuk dipasarkan ke seluruh negara.
Ujarnya, tudung-tudung berkenaan juga turut dijual secara terus kepada kenalan rapat yang berminat dengan reka bentuk dihasilkan itu.
“Alhamdulillah, setakat ini sambutan yang diterima amat baik dan saya sememangnya merancang untuk mengembangkan lagi jualan tudung ini pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, tudung yang dihasilkannya itu juga sesuai dipakai oleh semua peringkat umur dan sesuai digayakan dengan pelbagai variasi warna.
“Golongan muda dan pertengahan merupakan pelanggan yang banyak mendapatkan tudung-tudung keluaran kami memandangkan corak serta warna dihasilkan menarik perhatian mereka,” katanya. – UTUSAN










