PETALING JAYA: Tesla Sdn. Bhd. (Tesla) mengumumkan pengembangan strategiknya ke dalam pasaran Malaysia.
Peluasan itu adalah maklum balas langsung Syarikat kepada Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Menurut kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Tesla, empat tumpuan utama Syarikat itu di Malaysia ialah:
*Import kenderaan. Syarikat komited memperkenalkan barisan kenderaan elektrik seperti Model 3 dan Model Y untuk pasaran tempatan. Model Y dijual pada harga bermula daripada RM199,000, kini terbuka untuk tempahan. Penyerahan dijangka apa awal 2024.
*Rangkaian Supercharger. Untuk menangani aspek penting infrastruktur pengesan, Tesla akan melabur secara signifikan dalam menubuhkan rangkaian luas pengecasan dan stesen pengecasan tetap di semua lokasi strategik di Malaysia. Inisiatif itu untuk menyediakan pemilik EV pengalaman mengecas dengan lancar dan mudah, selain menggalakkan penggunaan EV yang meluas di negara ini.
*Ibu pejabat dan Pusat Servis. Tesla juga bersedia untuk mewujudkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatan tercanggihnya di Cyberjaya, Selangor, yang akan berfungsi sebagai hab untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan.
*Pusat Pameran. Tesla juga akan menubuhkan pusat pamerannya di seluruh Malaysia, di mana pelanggan boleh meneroka dan alami sendiri model kenderaan elektrik terkini syarikat itu. Pusat-pusat itu akan berkhidmat sebagai ruang interaktif untuk bakal pembeli.
Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, misi Tesla adalah untuk mempercepatkan peralihan dunia kepada tenaga lestari.
“Sebagai sebahagian daripada komitmen Tesla kepada Malaysia, kami telah memperkenalkan pelan pembangunan komprehensif untuk pusat pengalaman, perkhidmatan dan sokongan, dan infrastruktur mengecas di negara ini. Kami komited dan teruja untuk membantu memacu pelepasan sifar dan masa depan lebih hijau untuk Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata: “Kami gembira kerana Tesla memilih Malaysia sebagai satu daripada destinasi untuk pengembangannya di Asia Tenggara.
“Komitmen mereka untuk mobiliti mampan sejajar dengan visi Malaysia untuk masa depan yang lebih hijau, dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 untuk sifar bersih.
“Kehadiran Tesla juga akan membantu meningkatkan pro-perniagaan dan pro-pelaburan untuk Malaysia di pentas global. Kami mengalu-alukan lebih banyak pelabur multinasional yang berkongsi visi kami untuk membangunkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, seimbang dan inklusif untuk negara kita.”
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman pula berkata, keputusan Tesla memilih Malaysia sebagai destinasi pengembangannya menyerlahkan daya tarikan negara sebagai hab pelaburan di rantau ini.
“Kami berbesar hati untuk menyokong Tesla dalam mewujudkan operasi dan kehadiran yang kukuh dalam pasaran Malaysia. Pertumbuhan mobiliti elektrik akan memainkan peranan penting dalam pembangunan mampan Malaysia dan kami percaya Tesla akan memainkan peranan penting dalam perjalanan ini,” katanya. – UTUSAN










