Subsidi 2022 meningkat 134.4 peratus, ringankan beban rakyat

Subsidi 2022 meningkat 134.4 peratus, ringankan beban rakyat

Kenaikan pendapatan berdasarkan dasar gaji progresif dijangka turut menaikkan harga barang keperluan. – GAMBAR HIASAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Subsidi yang ditanggung kerajaan tahun lepas meningkat 134.4 peratus bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan kos sara hidup.

Pada tahun lepas kerajaan membelanjakan sebanyak RM77.3 bilion untuk pemberian subsidi. Ia termasuk subsidi ke­penggunaan meliputi petrol, minyak masak, tepung dan elek­trik berjumlah RM51 bilion; bantuan kebajikan masyarakat termasuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) (RM11.7 bilion) dan lain-lain subsidi (RM14.6 bilion.)

Pada tahun ini pula, kerajaan dalam Belanjawan 2023 dilaporkan memperuntukkan RM55 bili­on untuk subsidi, bantuan dan insentif lain.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pemberian subsidi yang tinggi merupakan tidak balas kerajaan dalam meredakan tekanan inflasi dan usaha memulihkan ekonomi yang berterusan.

Katanya, pemberian subsidi yang lebih tinggi berbanding kutipan cukai bersih (cukai tolak subsidi ke atas pengeluaran dan import), telah menyebabkan pendapatan diterima kerajaan tahun lalu menurun.

Komponen cukai bersih menyusut 69.2 peratus pada tahun lalu, berbanding penurunan sebanyak 7.4 peratus tahun sebe­lumnya, katanya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pada 2022, KDNK Malaysia dari segi nominal mencatat­kan nilai sebanyak RM1,791.4 bilion (RM1.8 trilion), peningkatan 15.7 peratus daripada 9.2 peratus tahun sebelumnya.

Jelas beliau, pertumbuhan dalam KDNK didorong oleh pres­tasi Lebihan Kendalian Kasar (LKK) yang lebih tinggi berban­ding Pampasan Pekerjaan (PP). LKK berkembang 23.9 peratus berbanding 14.0 peratus tahun sebelumnya, sementara PP me­ningkat 6.5 peratus (2021: 2.7 peratus).

“Oleh itu, sumbangan PP terhadap KDNK menurun kepada 32.4 peratus berbanding 35.1 pera­tus pada 2021, manakala sumba­ngan LKK mengukuh kepada 67.0 peratus (2021: 62.6 peratus).

“Komponen selebihnya disumbangkan oleh cukai bersih iaitu 0.6 peratus berbanding 2.3 peratus daripada KDNK pada 2021,” katanya dalam laporan Statistik Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kaedah Pendapatan bagi tahun 2022.

Mohd. Uzir berkata, komponen PP merangkumi saraan yang diterima oleh pekerja untuk perkhidmatan buruh yang disediakan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan, dipacu oleh sektor Perkhidmatan dan Pembuatan.

PP dalam sektor Perkhidmatan berkembang 5.6 peratus (2021: 1.7 peratus), disokong oleh pertumbuhan yang lebih baik dalam semua subsektor, terutamanya Perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman dan penginapan.

Dalam sektor Pembuatan pula katanya, PP meningkat 8.6 peratus berbanding 8.1 peratus pada 2021, disumbangkan oleh produk Elektrik, Elektronik dan Optik.

Selain itu, PP dalam Pembinaan dan Perlombongan dan pengkuarian menokok masing-masing sebanyak 9.0 peratus (2021: -3.4 peratus) dan 10.3 pera­tus (2021: 5.1 peratus). Sementara itu, PP dalam sektor Pertanian pulih kepada 2.3 peratus daripada penguncupan 1.4 peratus pada tahun 2021, katanya.

“Sektor perkhidmatan terus menjadi penyumbang terbesar kepada keseluruhan PP dengan sumbangan 62.2 peratus, diikuti sektor Pembuatan mewakili 24.1 peratus. Kedua-dua sektor ini menyumbang 86.3 peratus daripada PP pada 2022.

“Selebihnya adalah daripada sektor Pembinaan dan Pertanian, masing-masing menyumbang 8.1 peratus dan 3.6 peratus. Sektor perlombongan dan pengkuarian merangkumi 2.1 peratus daripada PP pada 2022,” tambah beliau.

Menurut Ketua Perangkawan, sebagai perbandingan negara-negara di rantau Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Singapura menunjukkan sumbangan LKK yang lebih besar kepada KDNK berbanding PP.

Sebaliknya, negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada dan beberapa negara Eropah menunjukkan sumbangan PP lebih besar berbanding LKK.

“PP membentuk lebih daripada 50.0 peratus daripada KDNK di AS (53.0 peratus), Kanada (50.6 peratus), United Kingdom (52.9 peratus) dan Jerman (52.3 peratus),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN