Skim rumah mampu milik ditawarkan di Malaysia

Skim rumah mampu milik ditawarkan di Malaysia

PROJEK perumahan rakyat oleh Perbadanan PR1MA Malaysia sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAJI kecil selalu dijadikan alasan sebagai penghalang untuk memiliki dan membeli rumah pertama.

Bagaimanapun, Malaysia sebenarnya mempunyai pelbagai skim rumah mampu milik yang boleh dimanfaat oleh golongan ini sama ada di peringkat persekutuan, mahupun peringkat negeri.

Malah, ada juga skim ditawarkan kepada golongan B40 yang tidak mempunyai penyata gaji dan bekerja sendiri seperti Rumah Mesra Rakyat (RMR) oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Oleh itu, golongan muda yang masih belum mempunyai rumah sendiri sudah boleh mula menguruskan kewangan dengan bertanggungjawab dan menjadikan hartanah sebagai aset berguna untuk masa depan.

Pada minggu ini, RINGGIT akan berkongsi beberapa skim rumah mampu milik yang ada di negara ini sebagai panduan kepada pembaca untuk memilih skim yang bersesuaian dengan kelayakan masing-masing.

Rumah PR1MA

Rumah PR1MA adalah satu skim di peringkat persekutuan yang dilancarkan untuk membantu rakyat Malaysia memiliki rumah dalam pasaran yang semakin mahal.

Misi PR1MA adalah merancang, membangun dan menyediakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi dengan konsep kehidupan moden untuk rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan.

Rumah PR1MA disediakan di setiap negeri pada harga RM100,000 hingga RM400,000.

Antara syarat-syarat untuk memohon rumah PR1MA adalah warganegara Malaysia, bujang ataupun berkahwin berumur 21 tahun ke atas dan pendapatan isi rumah (sama ada bujang ataupun pasangan berkahwin) antara RM2,500 hingga RM15,000.

Selain itu, kediaman PR1MA boleh dibeli sebagai kediaman pertama atau kedua sahaja.

Skim ini juga menawarkan skim Rent-to-Own yang tak memerlukan bayaran pendahuluan dan bayaran bulanan yang rendah.

Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah SPNB

Program RMR diwujudkan bagi membantu golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM5,000 yang tidak mempunyai rumah atau tinggal di rumah usang tetapi mempunyai tanah untuk membina rumah sendiri yang sempurna dan selesa.

Di bawah program ini, pemohon dapat memiliki rumah pada harga bermula RM75,000 yang mana RM20,000 ditanggung oleh kerajaan manakala mereka hanya perlu membayar bulanan sebanyak RM300 sahaja untuk baki RM55,000.

Pemohon haruslah warganegara Malaysia berumur 18 sehingga 65 tahun dengan pendapatan bulanan seisi rumah tidak melebihi RM 5,000.

Pemohon dan pasangan tidak memiliki rumah sendiri atau memiliki rumah usang dan tidak sempurna.

Tanah atau tapak cadangan mestilah bersesuaian dan bebas daripada gadaian/bebanan/sekatan ke atasnya.

Jika pemohon bukan tuan punya tanah, pemohon mestilah mendapat kebenaran daripada tuan punya tanah yang dicadangkan.

Keluasan tanah tidak kurang daripada 3,000 kaki persegi (tertakluk kepada rekabentuk).

Rumah SelangorKu

Skim ini ditawarkan oleh melalui kerajaan negeri Selangor menawarkan rumah berharga RM40,000 hingga RM250,000.

Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Selangor dan tidak memiliki rumah di negeri ini.

Pilihan unit adalah mengikut jumlah pendapatan bulanan anda seperti berikut:

Jenis A: Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 sebulan

Jenis B: Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM7,000 sebulan

Jenis C: Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan

Jenis D, Jenis E dan Jenis E Khas: Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM14,500

Residensi Wilayah

Skim rumah mampu milik ini untuk golongan berpendapatan sederhana dan rendah yang menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan.

Program ini yang menawarkan hartanah berharga RM300,000 ke bawah ini tertumpu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

Antara syarat untuk memohon adalah warganegara Malaysia berumur 21 tahun ketika permohonan dibuat dan dilahirkan atau menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan.

Pendapatan isi rumah tidak melebihi RM10,000 sebulan bagi pemohon bujang/tidak berkeluarga atau tidak melebihi RM15,000 sebulan bagi pemohon yang telah berkahwin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN