PETALING JAYA: Singgah Pengerang, rangkaian hotel milik anak syarikat Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (KOPETRO), KOPETRO Hotel & Resorts Sdn. Bhd., menawarkan penginapan pada harga ideal untuk pengembara bisnes.
Sehingga September ini, hotel berkenaan menawarkan promosi bilik penginapan pada harga RM140 semalam, lengkap dengan hidangan sarapan dan makan malam untuk dua orang.
Melalui promosi ini, pelanggan boleh menikmati set kuih-muih dan secawan kopi pada harga RM9.90 sahaja. Juadah utama di Singgah Café seperti Nasi Ayam, Nasi Arab dan Nasi Beriani juga boleh didapatkan pada harga RM18 untuk setiap hidangan.
Ketua Pegawai Eksekutif KOPTERO, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah berkata, promosi terbaharu Singgah Pengerang itu diadakan bagi memperluas pengetahuan masyarakat tentang jenama Singgah Hotel dan memberikan peluang kepada pelanggan untuk menikmati penginapan berkualiti.
“Tawaran eksklusif untuk masa terhad di Singgah Pengerang dan Singgah Cafe ini adalah satu peluang untuk merancakkan lagi aktiviti di kawasan tersebut dan memberi peluang kepada pelanggan untuk menikmati pengalaman istimewa di Singgah Hotel dengan harga yang berpatutan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahmad Shakir, dalam masa sama, KOPETRO ingin menggalakkan orang ramai untuk menginap di Singgah Pengerang, sekaligus memberi kesan positif kepada ekonomi tempatan, dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan dalam negara.
Singgah Pengerang adalah hotel kedua selepas Singgah Kertih, di mana rangkaian hotel Singgah milik KOPETRO Hotel & Resorts ini menampilkan konsep butik yang mensasarkan golongan eksekutif yang bekerja dalam sektor minyak dan gas selain pemilik-pemilik perniagaan dan pengembara beg galas (backpackers). – UTUSAN










