Sektor minyak dan gas negara kekal positif

Sektor minyak dan gas negara kekal positif

SYARIKAT minyak dan gas sentiasa melakukan eksplorasi bagi mencari sumber tenaga baharu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sektor minyak dan gas (O&G) negara kekal positif didorong inisiatif kerajaan untuk peralihan tenaga yang teratur menerusi pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) Bahagian 1, minggu lalu.

MIDF Research berkata, pi­haknya yakin bahawa Malaysia mempunyai alat, aset dan kemahiran yang sesuai untuk mempelopori bahan api hidrogen dan penangkapan serta penyimpanan karbon di rantau ini.

Ujarnya, pilihan utama untuk sektor ini selaras dengan pelancaran NETR ialah Malaysia Marine and Heavy Enginee­ring (MMHE) (Beli, TP:RM0.81) dan Petronas Gas (Beli, TP: RM18.43).

“Kami yakin dengan MMHE kerana penglibatannya dalam Projek tangkapan, penggunaan dan penyerapan (CCUS) Kasawari di luar pesisir Sarawak.

“Walaupun MMHE pula bukan pengendali utama projek itu, kepakarannya sebagai syarikat perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) untuk membina dan menyelenggara platform luar pesisir membuka jalan kepada syarikat OGSE lain

untuk mencari hasil dalam projek CCUS masa hadapan, khususnya dalam pembinaan dan sektor pengangkutan.

“Kami juga menyukai Petronas Gas kerana kepakarannya dalam pengangkutan gas dan operasi pengegasan semula, yang boleh memanfaatkan ke­dua-dua bahan api hidrogen dan operasi CCUS.

“Petronas Gas berpotensi untuk melabur dan memba­ngunkan penyelesaian yang lebih baik untuk mengatasi isu penyim­panan pukal hidrogen, serta memberikan peraturan yang betul dalam aspek pengurusan penapisan hidrogen biru untuk penerokaan dan pembangunan hidrogen masa hadapan,” kata­nya dalam nota kajian.

Firma penyelidikan itu berkata, pelaburan dalam minyak dan gas masih penting kerana di peringkat global, sektor minyak dan gas telah mengalami pelupusan yang memihak kepada tenaga boleh diperbaharui dan bahan api yang lebih bersih.

“Namun, berbanding dengan kelajuan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, kami percaya bahawa kadar pelupusan minyak dan gas mungkin lebih cepat daripada yang diperlukan.

“Sehingga Julai 2023, kira-kira AS$40.5 trilion telah dilupuskan daripada sektor itu, sejak 2014.

“Kami percaya bahan api hidrogen dan projek CCUS boleh membantu dalam pelaburan semula sektor minyak dan gas untuk memastikan peralihan tenaga yang lancar dan teratur, selaras dengan aspirasi untuk karbon bersih-sifar dan neutra­liti karbon merentasi pelbagai pasaran,” ujarnya.

Dengan teknologi CCUS yang ada, MIDF Research juga percaya bahawa ini boleh membantu Malaysia untuk mempelopori penggunaan bahan api hidrogen dalam perindustrian dan penjanaan kuasa, seterusnya penggunaan semasa sebagai bahan api pengangkutan.

“Walaupun penggunaan bahan api hidrogen masih di peringkat awal, kami berpendapat dengan diberikan masa untuk kemajuan pesat teknologi baharu dan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan teknologi digital dalam infrastruktur untuk pemprosesan, penyimpanan, pengangkutan dan pembakaran hidrogen, sumber tenaga ini akan menjadi penting dalam merealisasikan tenaga agenda peralihan dalam masa terdekat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN