PETALING JAYA: Biarpun ringgit melonjak RM4.5500/5410 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi semalam, nilai mata wang tempatan terus merosot berbanding pound Britain (GBP) dan juga euro.
Pada Rabu ringgit mencecah paras terendah dalam tujuh tahun berbanding GBP apabila ia jatuh kepada 6.0195/0103, manakala nilai mata wang tempatan pula berada pada paras 5.1310/1226 berbanding euro.
Selain itu, mata wang tempatan turut meningat berbanding yen Jepun kepada 3.2998/3040 daripada 3.3069/3103 pada penutupan Khamis, mengukuh berbanding euro kepada 5.0976/1038 daripada 5.1168/1218 semalam dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.9593/5.9665 daripada 5.9861/9919 sebelumnya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, nilai ringgit diramal akan terus merosot berbanding GBP dan euro sekiranya dolar AS terus menurun bagi tempoh beberapa minggu akan datang.
Menurut beliau beberapa faktor utama seperti tindakan Rizab Persekutuan AS untuk mengekalkan kadar faedah pada Jun lalu, serta peperangan di antara Rusia dan Ukraine dilihat sebagai antara faktor dolar AS merosot minggu ini.
“Dolar AS juga melemah di pasaran dunia ekoran banyak negara hari ini cuba keluar atau mengelak daripada menggunakan mata wang berkenaan dalam urus niaga perdagangan mereka termasuk mengurangkan rizab dolar AS.
“Jadi jika dolar AS terus menurun, kadar pertukaran kita dengan GBP dan euro juga akan terus merosot dan secara relatifnya mata wang kita lemah berbanding mata wang antarabangsa lain,” katanya.
Ditanya mengenai jangkaan prestasi ringgit, Barjoyai berkata, mata wang tempatan itu diunjurkan berada pada paras RM4.40 berbanding dolar AS dalam tempoh tiga bulan akan datang dengan mengambil kira beberapa faktor.
“Kita memang menjangkakan ringgit akan pulih sedikit selepas Rizab Persekutuan AS tidak menaikkan kadar faedah mereka bulan lalu (Jun) dan kita akan lihat kelemahan dolar AS akan berterusan tetapi secara beransur bukannya drastik.
“Sebelum ini juga ramai penganalisis meramalkan ringgit akan berada pada paras RM4.20 berbanding dolar AS hujung tahun ini tetapi saya meramalkan mata wang kita berada pada paras RM4.40 dalan tempoh tiga bulan akan datang dan seterusnya RM4.24 sama seperti ketika Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, dolar AS kekal dalam mod lemah dengan indeks dolar AS (DXY) berlegar di bawah 100 mata.
“Pada masa yang sama, eksport China merosot dengan ketara daripada jangkaan kepada -12.4 peratus tahun ke tahun berbanding jangkaan -9.5 peratus dan import turun kepada -6.8 peratus berbanding anggaran konsensus -4.0 peratus.
“Ringgit dijangka akan terus mengukuh. Paras sokongan serta-merta kini berada pada RM4.5491 dan sekiranya kedua-dua mata wang menembusi paras sedemikian, paras sokongan seterusnya ialah pada RM4.4872,” katanya. – UTUSAN