KUALA LUMPUR: Kerjasama di antara syarikat dalam bidang automotif, kecerdasan buatan dan tenaga bersih Tesla Inc dengan Malaysia dijangka bakal meliputi sektor lain selain automotif dan kenderaan elektrik (EV).
Menteri Pelaburan Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagaimanapun keputusan berkenaan hanya akan diketahui selepas perjumpaan di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, yang dijadualkan dalam minggu ini.
“Perjumpaan yang diumumkan oleh PM antara beliau dan Musk yang berlaku dalam minggu ini saya rasa akan ada lebih daripada EV dan sektor automotif yang selalu kita katakan mengenai potensi kerjasama ini.
“Kita kena tunggu dahulu dan saya tidak mahu mendahului perbincangan yang akan diadakan di antara Perdana Menteri dan Musk, yang penting ini adalah satu perkembangan yang positif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023, anjuran Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Oktober ini.
Menurut Tengku Zafrul, Tesla sebelum ini telah menunjukkan komitmen mereka terhadap pelaburan di Malaysia dan ia diperlihatkan melalui pengumuman membuka sebuah ibu pejabat di negara ini melalui Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.
“Kita tahu Tesla sudah memberi komietmen dan akan ada pelancaran pada 20 Julai ini, jadi yang kita mahu adalah agar potensi dan komitmen pelaburan yang lebih tinggi dalam dalam sektor automotif dan juga sektor lain yang dapat kita bawa dalam negara,” katanya.
Jumaat lalu, Anwar mengumumkan satu pertemuan di antara beliau dan Musk akan diadakan minggu ini bagi membincangkan berkenaan penambahan pelaburan oleh hartawan tersebut di negara ini.
“Minggu hadapan (minggu ini), Elon Musk meminta untuk berunding dengan saya, untuk bincang kemungkinan komitmen beliau untuk tambah pelaburan di Malaysia,” katanya ewaktu berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, pihaknya telah memanjangkan jemputan kepada syarikat multinasional Amerika Syarikat (AS) yang beribu pejabat di Austin, Texas untuk mengambil bahagian dalam IEMS 2023 Oktober nanti.
“Kita telah menjemput Tesla untuk turut serta dalam IEMS dan Ketua Pegawai Eksekutifnya sudah maklum mengenai perkara ini dan ya, kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada acara ini.
“Kita mahu mereka menjadi sebahagian daripada IEMS dan melibatkan diri dengan pemain industri Malaysia,” jawabnya ringkas.
Mengulas mengenai sasaran IEMS 2023, Shamsul Bahar berkata, pihaknya menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya RM4 bilion dalam prospek pelaburan utama teknologi hijau dan kemampanan, berbanding RM3 bilion yang diperoleh pada edisi tahun lalu.
“Kami juga turut menjangkakan kira-kira 40,000 pengunjung akan hadir pada IEMS 2O23 yang akan disertai kira-kira 400 peserta pameran dari 40 negara antaranya, Sweden, Australia, China, Jepun, Taiwan dan Belanda,” katanya. – UTUSAN










