Pelaburan Geely pacu ekonomi

Pelaburan Geely pacu ekonomi – Penganalisis Ekonomi

PEMBANGUNAN kilang Proton di Tanjung Malim sebagai hab autmotif bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan selain memacu pertumbuhan ekonomi negara. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penganalisis ekonomi menyifatkan pemba­ngunan Automotive High Tech Valley (AHTV) mampu menjadi pemangkin ekonomi negara untuk beberapa dekad akan datang.

Ini kerana, ia melibatkan pembangunan industri dan ekosistem berteknologi tinggi, pada masa sama meletakkan keutamaan kepada amalan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelaburan yang dilakukan oleh Geely bakal memberi impak positif kepada ekonomi negara kerana ia datang melalui perkongsian ekuiti antara Geely dan DRB-Hicom yang bersifat kerjasama jangka panjang.

Menurut beliau, ini kerana, setiap pihak melabur dalam projek ini, berkongsi risiko dan hasil bersama-sama.

“Ini berbeza jika pelaburan dilakukan dengan pembiayaan hutang yang mana hanya satu pihak sahaja yang terpaksa memastikan projek berjaya, manakala satu pihak hanya mementingkan pulangan atas pinjaman.

“Oleh itu, kerjasama seperti Geely ini harus digalakkan dan diberi keutamaan oleh kerajaan kerana ianya mengurangkan keberhutangan di kalangan rakan kongsi tempatan, sekaligus mampu memastikan ekonomi Malaysia lebih mampan dan berdaya saing

“Pada masa yang sama, saya berharap keutamaan diberi kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan untuk menjadi pelengkap kepada AHTV dengan memberi mereka peluang sebagai pembekal, pengedar dan pembuat komponen supaya setiap PKS ini juga mampu menjadi pengeksport,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, dengan adanya perancangan yang strategik seperti AHTV, ia mampu meletakkan Malaysia sebagai negara pilihan di Asia terutamanya Asia Tenggara untuk pengeluaran kenderaan elek­trik (EV).

Kata beliau, pastinya pe­laburan Geely iaitu pemegang saham utama Proton akan menjadi kayu ukuran kepada pengeluar kenderaan EV yang lain akan kemampuan AHTV untuk memenuhi keperluan perniagaan masing-masing.

“Mungkin AHTV perlu menyediakan ekosistem yang lebih baik untuk menarik penyertaan pelabur-pelabur lain dan maklum balas dari Geely amat pen­ting dalam proses untuk menonjolkan AHTV di mata dunia.

“Mungkin lokasi AHTV juga perlu merangkumi infrastruktur yang lengkap seperti lebuhraya, landasan keretapi, lapangan terbang dan pelabuhan di Perak.

“Pelabuhan Lumut sudah pun tersedia dan perlu diluaskan khususnya untuk memperkasakan sokongan logistik AHTV,” katanya.

Tambahnya, lapangan terbang baharu antarbangsa yang lebih besar juga akan melengkapkan AHTV dari segi pengangkutan barangan dan penumpang.

Aimi Zulhazmi berkata, Malaysia harus menyusun strategi sebagai hab pengeluaran ken­deraan EV yang utama di rantau ini, dan ia memerlukan soko­ngan serta komitmen semua pihak bukan sahaja kerajaan tetapi juga keseluruhan ekosistem negara yang sedia ada.

Geely dan rakan kongsinya dalam Proton, konglomerat tempatan DRB-Hicom Berhad, telah menandatangani perjanjian induk (HOA) pada April, untuk memba­ngunkan AHTV di Tanjong Malim sebagai hab kenderaan generasi akan datang Malaysia.

AHTV akan merangkumi rantaian nilai penyelesaian automotif dan mobiliti yang meluas, daripada pusat penyelidikan dan pembangunan global teknologi tinggi sepenuhnya kepada kluster pembuatan dan perkhidmatan sokongan serta ekosistem yang berkaitan, me­nurut kenyataan daripada DRB-Hicom.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim me­ngumumkan, pengeluar kereta China, Zhejiang Geely Holding Group Co. Ltd. akan melabur AS$10 bilion (RM45.4 bilion) untuk menjadikan Tanjung Malim, Perak, sebagai ‘auto city’ terbesar di rantau ini. Ia antara pelaburan langsung asing (FDI) terbesar yang diumumkan kerajaan tahun ini.

Sebelum ini, pelaburan Amazon berjumlah AS$6 bilion (hingga 2037) untuk mengukuh­kan infrastruktur perkhidmatan awannya, dan rancangan syarikat semikonduktor berpangkalan di AS, Texas Instruments untuk menyuntik RM14.6 bilion bagi mengembangkan operasinya di Kuala Lumpur dan Melaka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN