OCBC Bank tawar penjadualan, penyusunan semula pinjaman PKS

OCBC Bank tawar penjadualan, penyusunan semula pinjaman PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Malaysia melalui OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) dan OCBC Al-Amin Bank Berhad (OCBC Al-Amin) menawarkan pakej penjadualan dan penyusunan semula pinjaman dalam usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS), perusahaan mikro serta pelanggan individu yang terjejas akibat peningkatan kos sara hidup.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Tan Chor Sen, Bank sentiasa bersedia untuk membantu dan pelanggannya tidak harus ragu-ragu untuk tampil dan memberitahu Bank jika mereka memerlukan bantuan pembiayaan akibat kos sara hidup yang kian meningkat.

Beliau berkata, sejak Bank memberikan lebih banyak bantuan semasa pandemik beberapa tahun lepas, pelanggan yang tampil menghubungi Bank telah mendapat sokongan diperlukan untuk mengharungi tempoh yang mencabar.

“Saya sukacita untuk menyatakan bahawa sebahagian besar daripada kumpulan ini telah pun menyambung pembayaran ansuran biasa mereka. Dengan kenaikan kos sara hidup, kami ingin memastikan mereka yang memerlukan bantuan mendapat perhatian sewajarnya.

“Kami menggalakkan para pelanggan dalam kumpulan ini untuk menghubungi kami supaya kami dapat menilai cara terbaik untuk meringankan beban kewangan mereka, walaupun mereka hanya memerlukan langkah semudah penyusunan semula pembiayaan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, OCBC Malaysia telah menjadikan pakej bantuan bagi pelanggan yang terjejas akibat banjir satu kemudahan tetap.

Dengan menyediakan kemudahan itu katanya, individu, perusahaan mikro, PKS, pelanggan komersial dan korporat yang hartanah mereka berada di kawasan yang terjejas akibat banjir berasaskan perisytiharan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya perlu menghubungi pihak Bank untuk membincangkan bantuan atau langkah penyusunan paling sesuai berhubung dengan pinjaman atau skim pembiayaan sedia ada.

“Banjir kilat telah berlaku dengan semakin kerap kebelakangan ini dan kami membuat keputusan untuk menyediakan protokol yang diperlukan secara tetap supaya pelanggan kami tahu bahawa apabila bencana banjir melanda, mereka boleh mendapatkan sokongan daripada kami.

“Kami membuat pengumuman ini dalam suasana semasa yang tenang – iaitu apabila kita tidak mengalami bencana banjir – supaya pelanggan mengetahui bahawa apabila mereka memerlukan sokongan, kami sedia untuk membantu mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN