KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menyerahkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mewajibkan pengeksport tempatan menukar hasil eksport mereka dalam dolar Amerika Syarikat (AS) kepada ringgit, dalam usaha mengukuhkan kedudukan mata wang negara itu, ataupun sebaliknya.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan terdapat pengeskport tempatan yang enggan berbuat demikian disebabkan nilai ringgit yang lemah ketika ini.
Menurut Tengku Zafrul, BNM pada 2016 pernah mewajibkan pengeksport tempatan untuk menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit dan hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.
“Memang kita sudah dengar bagaimana syarikat-syarikat pengeskport tempatan ini bila eksport barang mereka ke luar negara, mereka tidak menukar kembali hasil ke dalam ringgit kerana terdapat jurang besar di antara mata wang kita dengan dolar AS.
“Jadi, soal itu (wajibkan pengeksport tempatan) perlu tanya BNM dahulu kerana mereka pernah buat sebelum ini dan ia mempunyai kebaikan dan kekurangan, jadi saya serahkan kepada kebijaksanaan BNM bagaimana mereka akan mengawalnya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023, anjuran Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation (MGTC) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 4 hingga 6 Oktober ini.
Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC) dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2016 pernah mensyaratkan supaya pengeksport tempatan menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada ringgit, hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.
Ia langkah untuk meningkatkan permintaan ringgit dan menyokong lindung nilai ringgit berbanding mata wang lain, sekaligus memberi keseimbangan lebih baik terhadap pasaran tukaran asing tempatan. – UTUSAN










