Lebih banyak perniagaan terjejas jika OPR dinaikkan – PKS

Lebih banyak perniagaan terjejas jika OPR dinaikkan – PKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan PKS Malaysia melihat lebih banyak perniagaan akan terjejas dan le­bih ramai peniaga akan tutup perniagaan sekiranya Kadar Dasar Semalaman (OPR) dinaikkan.

Setiausaha Agung Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Chin Chee Seong berkata, pihaknya mendapati sebahagian besar PKS sedang bergelut untuk meneruskan perniagaan kerana perbelanjaan pengguna semakin terhakis selepas Hari Raya Aidilfitri.

Beliau memberitahu, pihak­nya baru-baru ini telah melakukan tinjauan pantas dalam sektor peruncitan, perdagangan dan perkhidmatan dan mendapati sebanyak 60 peratus perniagaan berada dalam keadaan tidak baik dengan 45 peratus daripada mereka mempunyai masalah aliran tunai.

“Justeru, sekiranya OPR dinaikkan lagi kali ini, banyak perniagaan mungkin akan lebih terjejas sehingga menyebabkan mereka menutup perniagaan kerana perbelanjaan pengguna pasti akan merosot.

“Sekiranya OPR dinaikkan juga, kami berharap sokongan dan bantuan daripada kerajaan untuk memastikan bank perdagangan membenarkan pembayaran balik pinjaman dengan kos minimum dan memberikan pengurangan kadar faedah sebanyak 30 peratus untuk sekurang-kurangnya lima tahun kepada PKS,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Chee Seong percaya, kestabilan dalam kos pinjaman boleh membantu mengekalkan keyakinan pengguna dan tahap per­belanjaan.

Ujarnya, perbelanjaan pengguna yang konsisten adalah penting untuk perniagaan, terutamanya dalam sektor runcit, hospitaliti dan barangan pengguna, kerana ia memastikan permintaan yang stabil untuk produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

“Sekiranya OPR dikekalkan seperti sekarang, ia membo­leh­kan perniagaan dapat men­gekalkan kos pinjaman mereka, mempunyai perbelanjaan pengguna yang boleh diramal dan dapat merancang untuk aliran tunai,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berharap kenaikan atau penurunan OPR diputuskan secara telus dan boleh dijangka.

Jelasnya, perancangan adalah penting untuk pengiraan bagi sektor perniagaan, justeru mencadangkan BNM mengumumkan jadual atau struktur dalam kenaikan OPR.

“Pada peringkat awal, alasan kenaikan OPR adalah untuk mengukuhkan nilai ringgit dan mengawal inflasi.

“Sekarang, alasan yang berbeza diberikan iaitu untuk bersaing dengan kadar faedah negara lain.

“Sebagai contoh, setiap kenaikan 0.1 peratus dalam kadar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), OPR akan naik 0.1 peratus.

“Jika kenaikan OPR mengikut nilai ringgit berbanding dolar AS, setiap penyusutan 0.1 peratus dalam nilai ringgit, OPR akan dinaikkan 0.1 peratus. Dengan struktur yang telus, para pengurus perniagaan dapat melakukan perancangan,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN