PETALING JAYA: Zon ekonomi khas Johor-Singapura (JSSEZ) bakal meningkatkan pelaburan dan pekerjaan berkualiti tinggi di Johor dan Singapura dengan memudahkan aliran pergerakan manusia, barangan dan perniagaan.
Sehubungan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) telah bersetuju mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan JSSEZ.
Perkara itu diumumkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ketika mengetuai delegasi Malaysia ke Singapura bagi menghadiri JMCIM ke-16, baru-baru ini.
Mesyuarat tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan Negara (Singapura), Desmond Lee; Pemangku Menteri Pengangkutan (Singapura), Chee Hong Tat dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Menurut Rafizi, pasukan petugas khas itu akan diterajui oleh Kementerian Ekonomi dari Malaysia dan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura, dengan sokongan daripada agensi kerajaan lain.
“Kementerian Ekonomi akan terus mengambil sikap terbuka terhadap kerjasama serantau terutamanya dalam bidang ekonomi, bakat, dan teknologi,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut berpeluang bertemu pemain-pemain industri strategik termasuk syarikat-syarikat semikonduktor antarabangsa yang mempunyai kepakaran dalam komponen frontend, backend dan reka bentuk.
“Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah mengadakan sesi dialog dengan syarikat-syarikat semikonduktor seperti Micron, Infineon Technologies, ST Microelectronics, Venture Corporation dan Synopsys untuk melakar visi strategik industri semikonduktor di Malaysia.
“Industri semikonduktor dianggarkan mencecah AS$1 trillion pada 2030 akibat peningkatan permintaan global.
“Oleh itu, penentuan visi strategik yang dapat menggunakan kelebihan sedia ada kita, terutamanya dalam backend dan reka bentuk litar bersepadu (integrated circuit design), mampu mewujudkan pekerjaan yang bergaji dan bernilai tinggi,” ujarnya.
Rafizi memberitahu, pihaknya juga telah bertemu dengan pelabur-pelabur institusi yang mempunyai aset di bawah pengurusan antara RM180 bilion dan RM3.2 trilion, dan bertukar pandangan tentang situasi ekonomi dan politik semasa, di samping berkongsi pelan-pelan kementerian untuk tahun-tahun mendatang.
Katanya, dalam perbincangan tersebut, kementerian telah memberikan fokus kepada Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia dengan jumlah peluang pelaburan sebanyak RM637 billion.
“Kita juga menerima respon yang amat menggalakkan daripada firma-firma pemodal teroka yang paling berpengaruh dalam dunia syarikat pemula seperti GGV, Iterative VC, TPG Global, East Ventures, Insignia Ventures Partners dan Openspace Ventures atas usaha Kementerian dalam membangunkan ekosistem syarikat pemula di Malaysia.
“Dalam sesi yang dihoskan oleh K3 Ventures dan Bloomberg, satu daripada firma-firma pemodal teroka yang hadir juga telah mengumumkan hasrat mereka untuk membuka cawangan di Kuala Lumpur tidak lama lagi,” ujarnya.
Tambah Rafizi, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dengan firma pemodal teroka dan pengasas yang berpengalaman dengan lebih kerap lagi untuk menzahirkan cita-cita negara untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab syarikat pemula serantau.
“Saya akan menyampaikan maklum balas yang diterima daripada lawatan ini serta dasar-dasar yang perlu digubal kepada Jemaah Menteri sebagai langkah penstrukturan ekonomi dengan pemilihan industri pemangkin negara,” katanya. – UTUSAN










