Johor Port, KSM bekerjasama tingkat program TVET

Johor Port, KSM bekerjasama tingkat program TVET

V. SIVAKUMAR (dua kiri) dan Md. Derik Basir bertukar dokumen kerjasama sambil disaksikan oleh Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) ; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha KSM, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang (kanan) pada 27 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Port Berhad, ahli Kumpulan MMC, be­kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mempertingkatkan program Pen­didikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di dalam negara.

Bagi tujuan itu, Johor Port telah menandatangani memorandum kerjasama untuk tempoh tiga tahun dengan KSM di Putrajaya, baru-baru ini.

Majlis pertukaran memorandum kerjasama itu disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md. Derick Basir. Ia disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan (MTVET), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Md. Derick berkata, Johor Port berbesar hati untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran yang diperoleh di dalam industri pelabuhan dan logistik untuk meningkatkan latihan vokasional negara melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan pendedahan industri.

“Johor Port juga komited untuk beroperasi secara mampan, bertanggungjawab dan inklusif. Justeru, kerjasama selama tiga tahun dengan KSM ini adalah bukti komitmen kami untuk memberi kembali demi pembangunan masyarakat, di samping memperkasa industri dengan melahirkan bakat-bakat mahir,” katanya dalam kenya­taan.

Melalui Kerjasama itu, Johor Port akan terlibat secara langsung dalam pelaksanaan program TVET negara khususnya dalam pembangunan Kurikulum dan Bahan Latihan serta menyediakan kemudahan latihan bagi program Operasi Pelabuhan.

Kerjasama itu juga merupakan satu lagi pencapaian bermakna buat Johor Port melalui JP Skills Centre (JPSC) yang bertanggungjawab menyediakan latihan kepada pelabuhan tempatan dan serantau.

Program latihan berkualiti tinggi yang dihasilkan oleh JPSC juga telah menerima banyak pengiktirafan di peringkat tempatan dan global.

Pada tahun lalu, JPSC diiktiraf sebagai Penyedia Latihan TVET Terbaik (Pelabuhan & Logistik) di Anugerah Pendidikan & TVET Malaysia (META) dan pernah

dinobatkan sebagai Penyedia Latihan Pelabuhan & Terminal Terbaik Dunia 2019 oleh International Global Ports Forum.

JPSC ditubuhkan pada 2014 merupakan Pusat Latihan Johor Port dan Pusat Kecemerlangan MMC Ports yang telah melatih lebih 8,000 pegawai pelabuhan dan logistik di Malaysia, Taiwan, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Vietnam, Ghana dan Nigeria.

JPSC juga diiktiraf oleh United Nations Conference for Trade & Development (UNCTAD) sebagai penyedia latihan bertauliah bagi Program UNCTAD Train For Trade Modern Port Management. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN