PETALING JAYA: FGV Holdings Berhad (FGV) sedang giat meluaskan jejak jenama tenusunya, Bright Cow ke 5,000 lokasi di seluruh negara melalui pelantikan rakan-rakan pengedar baharu.
Pelantikan rasmi tersebut telah dibuat sewaktu majlis tandatangan Memorandum Perjanjian (MOA) antara FGV Dairy Industries Sdn. Bhd. (FGVDI), anak syarikat FGV, bersama Bexpress Marketing Sdn. Bhd., ARTY Foods Sdn. Bhd. dan DPO Malaysia Sdn. Bhd.
Pada majlis itu, FGVDI diwakili Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Datuk Iszhar Ibrahim, manakala Bexpress Marketing diwakili Pengarah Eksekutifnya, Bee Zhang Long, ARTY Foods pula diwakili Pengarah-pengarah Urusan, Raymond Teoh serta Andy Yap, dan DPO Malaysia diwakili Ketua Pegawai Komersial, Inneke F Tjakradidjaja.
Jenama Bright Cow mula menembusi pasaran tempatan pada tahun 2020 dan menawarkan produk-produk berasaskan susu seperti susu segar, yogurt susu dan kefir berperisa, serta produk-produk keju.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Nazrul Mansor berkata, dengan kerjasama yang terjalin, jenama Bright Cow diperkukuhkan dengan capaian pengguna yang lebih meluas.
“Rakan-rakan pengedar kami dipilih dengan teliti berdasarkan keupayaan logistik serta kekuatan rantaian bekalan mereka, terutamanya dalam rangkaian runcit.
“Produk-produk Bright Cow kini boleh didapati di lebih daripada 5,000 cawangan runcit serata Malaysia. Strategi kami adalah untuk memanfaatkan rangkaian rakan-rakan pengedar baharu kami bagi membawa jenama tenusu Bright Cow ke tahap yang lebih tinggi. Kami menjangkakan pertumbuhan dua digit bagi jualan perniagaan tenusu kami pada tahun 2024,” katanya dalam kenyataan.
Jelas beliau, sebagai syarikat makanan dan perniagaan-agri yang terulung di Malaysia, FGV komited untuk memenuhi permintaan pasaran yang meningkat untuk produk tenusu dengan mencipta produk-produk baharu, inovatif dan berkhasiat.
Sebagai antara pengeluar makanan utama di Malaysia, FGV katanya, berhasrat untuk memainkan peranan penting dalam agenda sekuriti makanan negara dengan membawa produk makanan premium dan berkhasiat pada harga yang berpatutan kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Pengguna hari ini lebih bijak dan prihatin tentang aspek pemakanan sihat. Ini membawa kepada peningkatan permintaan bagi pilihan-pilihan yang lebih sihat dalam segmen tenusu.
“FGV bekerjasama rapat dengan pakar pemakanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam menbangun dan menginovasi produk-produk Bright Cow yang berkhasiat. Kami akan memperkenalkan pilihan-pilihan produk tenusu baharu di pasaran pada suku ketiga 2023 nanti,” katanya. – UTUSAN










