PETALING JAYA: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) melalui syarikat milik penuhnya, Duopharma Marketing Sdn. Bhd. (Duopharma Marketing), menandatangani perjanjian pengedaran peranti perubatan mudah alih bagi mengesan awal kanser payudara dengan UE LifeSciences Sdn. Bhd. (UE LifeSciences).
UE LifeSciences adalah syarikat inovator kesihatan wanita berpangkalan di Amerika Syarikat (AS). Perjanjian diadakan sempena lawatan syarikat itu ke Doupharma semalam.
“Di bawah perjanjian pengedaran itu, UE LifeSciences dan Duopharma Marketing merancang untuk bekerjasama dengan sektor penjagaan kesihatan swasta dan kerajaan dengan menjadikan peranti perubatan itu tersedia di klinik-klinik primer di seluruh negara.
“Kerjasama itu akan memperkasakan penyedia penjagaan kesihatan barisan hadapan dengan alatan mudah alih untuk memacu pemeriksaan awal (kanser payudara) dalam komuniti,” kata Duopharma dalam kenyataan.
Menurut kajian kanser `survival’ pada 2018, kadar survival relatif lima tahun untuk kanser payudara dalam kalangan Wanita Malaysia ialah 87.5 peratus bagi tahap satu, 80.7 peratus (tahap dua), 59.7 peratus (tahap tiga) dan 23.3 peratus (tahap empat).
“Ini menyerlahkan kepentingan pengesanan awal kanser payudara dalam meningkatkan peluang rawatan yang berjaya dan mengurangkan kematian berkaitan kanser,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, dengan visi ‘Menyediakan Penyelesaian Lebih Pintar untuk Kehidupan Lebih Sihat’, Duopharma komited untuk mengoptimumkan keupayaannya bagi meningkatkan penjagaan kesihatan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Beliau berkata, masih ramai wanita tidak melakukan pemeriksaan rutin, sebaliknya hanya berjumpa doktor apabila keadaan menjadi serius, dan sudah terlambat untuk mendapatkan rawatan yang berkesan.
“Oleh itu, Duopharma Marketing dan UE LifeSciences bekerjasama untuk mengedarkan peranti pemeriksaan payudara mudah alih dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan barisan hadapan.
“Kami berharap dapat meningkatkan akses kepada pemeriksaan awal dan akhirnya menggalakkan wanita Malaysia menjadualkan pemeriksaan tetap penuh, untuk memperbaiki kehidupan dalam jangka panjang,” katanya. – UTUSAN










