PETALING JAYA: DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) menjelaskan, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB) merupakan pihak yang melupuskan saham Advanced Vehicle Engineering Global Sdn. Bhd. (AVEE Global) kepada AAPICO Hitech Public Company Limited (AAPICO).
PONSB ialah anak syarikat milik DRB-HICOM sebanyak 50.1 peratus melalui Proton Holdings Berhad.
Syarikat itu memberitahu, dalam pengumumannya kepada Bursa Malaysia kelmarin, telah dinyatakan PONSB dan bukannya DRB-HICOM, adalah pihak yang melupuskan 51,486,267 saham, mewakili 60 peratus ekuiti dalam AVEE Global kepada AAPICO.
“Dengan selesainya pelupusan saham ini, DRB-HICOM akan memegang 20.04 peratus kepentingan ekuiti dalam AVEE Global dan tidak lagi menjadi anak syarikat tidak langsung Kumpulan,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan, pelupusan saham itu dibuat pada harga RM40.7 juta.
DRB-HICOM berkata, pelupusan itu akan membolehkan jenama Proton terus mengukuhkan misi untuk menjadi peserta utama dalam pasaran automotif ASEAN menerusi pengoptimuman kos, kecekapan dan kualiti pengeluaran kereta lebih baik. – UTUSAN










